JPAM pertingkat kesediaan

0

Ops Bantu V dilancar untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri

KUCHING: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak akan menempatkan 44 anggotanya di tujuh Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di seluruh negeri dari 16 hingga 18 Ogos dan 24 hingga 26 Ogos 2012 untuk Ops Bantu V sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarahnya Kolonel (PA) Mat Zin Bujang berkata, 44 orang anggota itu akan bertugas selama 16 jam melibatkan dua syif iaitu dari jam 8 pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 12 tengah malam melibatkan tiga anggota bagi setiap satu syif.

Beliau menambah, Ops Bantu V peringkat negeri seperti operasi-operasi sebelumnya melibatkan tujuh Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) iaitu PDPA Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Ops Bantu V melibatkan tujuh laluan penugasan atau rondaan iaitu Jalan Kuching-Serian yang tamat simpang Mambong, simpang Mambong-Simpang Gedong, Jalan Sri Aman Betong-Simpang Sri Aman, Jalan Betong Sarikei-Simpang Betong, Jalan Sibu-Bintulu hingga Selangau, Jalan Bintulu-Miri (jalan pesisir) hingga simpang Similajau dan Jalan Bintulu-Miri (jalan pesisir) hingga Simpang Niah,” katanya pada sidang media di pejabat PDPA Kuching di sini semalam.

Mohd Zin berkata, Ops Bantu dilancarkan bagi memberi bantuan kepada orang awam terutama dalam perjalanan balik kampung untuk berhari raya.

Beliau berkata, pada masa sama orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 apabila berlaku kemalangan membabitkan kecederaan parah atau kematian kerana Ops Bantu lebih memfokus kepada memberi bantuan kepada kemalangan kecil dan membaiki kenderaan rosak setakat mampu.

Menurutnya, bantuan akan diberikan pasukan Ops Bantu JPAM ialah menolong orang awam membaiki kerosakan kecil kenderaan mereka seperti tayar pancit dan kehabisan bahan api.

“Dalam hal ini pejabat JPAM Kuala Lumpur telah memberi peruntukan kepada JPAM negeri untuk membeli peralatan-peralatan alat ganti (kenderaan) yang kecil,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Ops Bantu, Mohd Zin berkata modus operandi operasi ialah membuat rondaan dan membantu pengguna jalan raya persekutuan dan negeri yang mengalami kecemasan semasa perjalanan balik kampung seterusnya bertindak sebagai Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT).

Beliau memberitahu berdasarkan pengalaman Ops Bantu sebelum ini, pasukan peronda lebih banyak berdepan situasi pengguna jalan raya mengalami kerosakan kecil pada kenderaan.

“Nasihat saya, kalau pengguna jalan raya berdepan situasi kecemasan yang serius hubungi talian 999 agar maklumat itu dapat disalurkan kepada agensi penguat kuasa lain seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta ambulans.

“Ops Bantu lebih kepada bantuan kemanusiaan sempena Hari Raya,” ujarnya pada majilis yang turut dihadiri timbalannya Majer (PA) Khairul Izzwan Abd Rahman dan Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik.

JPAM negeri mempunyai 81 anggota tetap di tujuh PDPA di seluruh Sarawak dan 10,226 anggota sukarelawan di seluruh negeri setakat kelmarin.