KUALA LUMPUR: Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) berharap undang-undang baharu berkaitan kebajikan haiwan akan menamatkan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap binatang.
Penaungnya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu juga secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia di mata dunia dari segi penjagaan haiwan.
Katanya, cadangan pindaan itu sepatutnya sudah lama dibuat memandangkan penderaan terhadap binatang sudah berlaku sejak sekian lama.
“Hingga kini perbuatan kejam itu masih berlaku, seperti dalam insiden baru-baru apabila seekor anjing dihumban ke dalam lurang dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dilapor berkata draf undang-undang kebajikan haiwan yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pendera binatang, dijangka dibentang di Parlimen awal tahun depan.
Draf itu memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Lee berkata cara paling baik untuk menangani isu kekejaman terhadap haiwan ialah memupuk perasaan sayang kepada semua binatang.
“Saya harap Pejabat Peguam Negara akan mempercepatkan kajian mengenai draf pindaan itu agar kementerian berkenaan dapat membawanya ke Kabinet dan memastikan rang undang-undang dapat dibentang awal tahun depan,” katanya. — Bernama