Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Aspek pendidikan, sokongan rakyat perlu dalam pelaksanaan GTP 2.0

Aspek pendidikan, sokongan rakyat perlu dalam pelaksanaan GTP 2.0

Posted on August 16, 2012, Thursday

KOTA KINABALU: Sempena pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 untuk tempoh 2013-2015 ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah menekankan aspek pendidikan dan sokongan rakyat sebagai kesinambungan terhadap pelaksanaan GTP 1.0.

Pengarah NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata bagi memperkukuhkan pelaksanaan GTP 2, pelbagai cadangan dan pandangan dibuka menerusi 20 inisiatif yang ditetapkan.

Menurutnya, 20 inisiatif berkenaan untuk memberi ruang kepada apa yang boleh ditangani dalam membanteras jenayah rasuah.

Jelasnya, menerusi aspek pendidikan, pihaknya mahu memberi penekanan dengan memberi pendidikan dan pendedahan dari awal peringkat persekolahan.

Ia bagi menanam budaya membenci rasuah dan menganggap ia sebagai satu jenayah besar.

“Sebelum ini kita cadang untuk masuk kepada tadika, sekolah atau universiti untuk mendirikan kadet atau menubuhkan sekretariat pencegahan rasuah.

“Selain cadangan berkenaan, kita juga cadang untuk beri pendidikan kepada ahli parlimen. Ini kerana kalau kita mahu letak penanda aras kepada ahli parlimen hari ini, biarlah ia selaras dengan apa yang dipanggil parlimen bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo ketika ditemui selepas majlis pelancaran Hari Terbuka Pelan Hala Tuju GTP 2.0 di sini Selasa lepas.

Hisham berkata, sepatutnya bukan sahaja infrastruktur fizikal sahaja yang perlu bertaraf dunia, tetapi mentaliti dan daya pemikian ahli parlimen juga harus setanding kelas dunia.

Katanya, daripada isu yang dibahaskan, tata etika dan gerak gaya dalam parlimen, pihaknya mahu para ahli parlimen menunjukkan perbahasan yang bertaraf dunia dalam membahaskan sesuatu isu.

“Selain itu, saya ambil contoh inisiatif yang dipanggil laporan audit yang mana kita memang sedia maklum laporan audit dibuat setahun sekali.

“Perkara ini menyebabkan menyebabkan laporan yang dikeluarkan agak tebal dan kes atau perkara yang dibincangkan melebihi yang sepatutnya.

“Akhirnya laporan audit itu akan berulang dan ia seolah-olah kesalahan kerajaan berulang,” jelasnya.

Justeru, pihaknya mencadangkan agar laporan audit dibuat sebanyak tiga kali setahun sebagaimana persidangan parlimen.

Beliau berkata, apabila cadangan itu dilaksanakan nanti, laporan yang dikeluarkan akan lebih nipis dan lebih senang dibaca serta isu yg dibangkitkan agak senang untuk ditandatangani.

Sehubungan itu, katanya, bagi melaksanakan cadangan berkenaan, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk menangani masalah dalam laporan audit.

“Selepas itu, laporan akan kita buka kepada awam dan ia dipanggil ‘online dashboard’ agar orang awam tahu antara isu-isu yang dibangkitkan, mana yang telah dan belum diambil tindakan.

“Sekiranya isu-isu terbabit tidak dapat diselesaikan di peringkat jawatankuasa khas, kita minta campur tangan daripada pihak atasan untuk menangani masalah audit yang berulang-ulang.

“Ini kerana, jika sesuatu isu itu berulang ia akan membawa imej yang buruk kepada kerajaan,” katanya.

Hisham berkata, sebagai persediaan terhadap pelaksanaan GTP 2.0, pihaknya diberi masa dalam tempoh tiga bulan bermula Oktober depan untuk membuat kerja lapangan.

Ia katanya, bukan sahaja melibatkan pelaksanaan inisiatif, tapi turut melibatkan bajet bagi setiap inisiatif.

“Dalam tempoh tiga bulan akan datang ini, selepas kerja lapangan yang kita buat diluluskan, kita akan jalankan terus pelaksanaan inisiatif itu pada Januari depan.

“Saya yakin dengan GTP 1.0 kita letak matlamat di peta dunia untuk membanteras rasuah dan ia boleh diselesaikan secara global.

“Malaysia khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dianggap sebagai negara yang memandang rasuah sebagai isu berat,” jelasnya.

Beliau berkata, tuntutan rakyat hari ini mereka mahukan kerajaan yang mempunyai integriti dan ketelusan serta kredibiliti yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, sokongan rakyat penting terutamanya dalam mendidik golongan muda untuk membanteras rasuah.

 

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.