Keselamatan kawasan perairan S’wak terkawal

0

KUCHING: Keselamatan kawasan perairan Sarawak, khususnya di daerah ini masih dalam keadaan terkawal.

Menurut Komander Polis Gerakan Marin Sarawak Wilayah Lima Asisten Komisioner Mohd Saleh Mat Jani, anggotanya melakukan rondaan selama 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan keadaan perairan laut kekal selamat.

“Keadaan (keselamatan) perairan di sini masih berada dalam keadaan terkawal dengan penugasan polis marin (selama 24 jam),” katanya ketika ditemui pemberita sementara menunggu pasukan ronda marin singgah berbuka puasa bersama keluarga di Jeti Markas Polis Marin di Bintawa di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Saleh memberitahu hanya 30 daripada sejumlah lebih 200 anggotanya dibenarkan cuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Menurutnya, yang selebihnya akan ditugaskan untuk bekerjasama dengan polis dan agensi-agensi kerajaan lain dalam Ops Selamat.

“Dalam operasi ini, kita akan bekerjasama dengan Lembaga Sungaisungai Sarawak (LSS) dan agensi kerajaan lain untuk mencegah jenayah, khasnya penyeludupan pada tempoh sebelum dan selepas raya,” katanya.

Sementara itu, Sarjan Mejar Ulak Kayan yang mengetuai pasukan bot rondaan semalam memberitahu, polis marin akan terus memfokus untuk mengekang aktiviti penyeludupan kayu balak dan diesel serta kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kes serangan lanun tidak serius di Sarawak kalau nak dibandingkan dengan Sabah, mungkin faktor lokasi Sabah yang dekat dengan Filipina.

“Tetapi, kita tetap men­gambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselama­tan terkawal bukan sahaja dari­pada lanun tetapi dari aktiviti lain seperti penyeludupan dan kehadiran PATI,” katanya.

Ulak berkata, bot rondaan yang mempunyai kekuatan lapan anggota itu lazimnya berada di perairan sekurang-kurangnya selama seminggu berturut-turut.

“Pada rondaan sebegini polis akan memeriksa bot yang mencurigakan. Sekiranya didapati terlibat dalam penye­ludupan mereka akan ditang­kap dan diserahkan kepada kastam.

“Bagaimanapun, hari ini (kelmarin) kita amat berbesar hati kerana dapat menyertai anggota lain berbuka puasa di darat berbanding berbuka puasa di atas kapal sahaja,” katanya.