Peminat Pandelela tidak sabar untuk mengetahui ganjaran daripada KM

1

KUCHING: Penyokong-penyokong setia ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg tidak sabar untuk mengetahui ganjaran yang bakal diberikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud setibanya di tanah air Selasa depan.

Ahli Exco Persatuan Ke­bangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Joseph Jindy berkata Pandelela wajar mendapat ganjaran yang setimpal dengan kejayaannya mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak di pentas dunia.

“Pandelela wajar mendapat pengiktirafan setelah berkor­ban untuk negara selama 10 tahun,” kata Jindy yang merupakan sepupu kepada ayah Pandelela.

“Ahli keluarga Pandelela juga telah banyak berkorban dengan merelakan beliau berlatih di Kuala Lumpur pada usia yang masih muda dan meninggalkan mereka di sini.

“Selain Pandelela, abangnya Pardika Indoma turut meng­harumkan nama Malaysia se­laku penerjun kebangsaan.”

Beliau yang berasal dari Kampung Tembawang Sauh, Bau berkata Pandelela dan keluarganya harus mendapat ganjaran setimpal dengan apa yang diperolehi oleh keluarga Sidek apabila mereka meme­nangi pingat pada Olimpik.

“Mereka diberi rumah dan tanah. Justeru, saya berpen­dapat kerajaan harus memberi ganjaran sedemikian kepada mereka juga.”

Menurutnya lagi ganjaran tersebut dapat menjadi pe­mangkin kepada atlet-atlet muda agar berusaha dengan lebih gigih dan mengikut jejak langkah Pandelela.

Kelmarin, DBNA telah bermesyuarat untuk men­gadakan majlis makan malam sebagai tanda penghargaan ke­pada Pandelela, Traisy Vivien Tukiet dan Bryan Nickson Lomas pada 22 Ogos depan bertempat di dewan persatuan tersebut di Jalan Kumpang, Off Jalan Ong Tiang Swee.

Ia dipengerusikan oleh penasihat DBNA Datuk Sri Michael Manyin.

Menurut Jindy lagi, ketiga-tiga hero dari Sarawak yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuch­ing (LTAK) pada jam 11.50 pagi akan diberi sambutan meriah dengan penuh adat-istiadat kaum Bidayuh.

Mereka kemudiannya akan diarak mengelilingi pusat bandar bersama-sama den­gan beberapa pegawai dari Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Ketiga-tiga mereka akan ber­jumpa dengan Taib di Dewan Suarah selepas itu di mana ketua menteri akan mengumumkan ganjaran buat Pandalela pada pertemuan tersebut.

Mengenai makan malam anjuran DBNA, 60 meja akan dijual untuk para tetamu dengan setiap meja berharga RM500.

Jindy menambah hasil jua­lan tersebut akan didermakan kepada Pandelela dan Traisy sambil berharap persatuan Iban turut memberi sesuatu untuk Bryan.