Site Last Updated 9:22 pm, Thursday

Sayalah pewaris sebenar tanah: Murai

by Rosemaria Buma. Posted on August 17, 2012, Friday

WARIS SEBENAR: Murai menunjukkan dua daripada laporan polis yang dibuatnya berhubung perbuatan kedua-dua adiknya itu.

MIRI: Seorang wanita warga emas tampil membuat pengakuan bahawa beliau adalah pewaris sebenar kepada 23 bidang tanah di kawasan Sungai Nakat, Bakong yang diwarisi secara turun-temurun daripada nenek serta ibunya yang telah meninggal dunia.

Menurut Murai Entamang, 57, dari Rumah Selan Abam, Sungai Nakat, Bakong, pengakuan ini dibuat sebagai menjelaskan kedudukan sebenar bahawa beliau bukan penipu seperti yang didakwa dua adik kandungnya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi sebuah akhbar berbahasa Inggeris, minggu lepas.

Sebagai menyokong dakwaan Murai, Penghulu Bakong Hilir, Sedu Gerang tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri pada 14 Ogos lalu.

Dalam laporan polis itu, Sedu memberitahu pada 26 Jun lalu di Rumah Justin Manai, Entulang Bakong, beliau ada menandatangani satu perjanjian/surat pengesahan tanah temuda, paya tanah Adat Hak Bumiputera (NCR) di kawasan Bakong sebangak 23 bidang yang diakui oleh Entusan Entamang dan Fauziah Abdullah @ Janga Entamang sebagai kepunyaan mereka.

Justeru, katanya, laporan polis itu dibuat untuk membatalkan cop Penghulu Sedu Ak Gerang pada surat pengesahan tersebut setelah berasa tertipu dan mengetahui kebenaran bahawa kesemua tanah yang dimaksudkan adalah di bawah bidang kuasa Murai Entamang sebagai pewaris sebenar.

“Saya adalah pewaris sebenar kepada ruang bilik dan semua tanah pusaka peninggalan nenek saya, Berambun Ngap yang diturunkan kepada ibu saya, Sudau Unja dan seterusnya kepada saya setelah kedua-duanya meninggal dunia,” katanya ketika datang ke pejabat Utusan Borneo di sini.

Malah, katanya, surat penyerahan tanah pusaka milik neneknya kepada dia turut mendapat sokongan dan pengesahan (tandatangan) dua ibu saudaranya, Ampik Unja dan Lord Unja serta Tuai Rumah (TR) Sungai Nakat,  Bakong iaitu TR Selan Abam, Penghulu David Nyandang Arin serta penggantinya, Penghulu Sedu Gerang.

Menurut Murai, dua orang adiknya itu telah meninggalkan rumah panjang mereka sejak lebih 20 tahun lalu kerana berkahwin dan mengikut suami serta isteri masing-masing.

“Justeru mereka tidak ada hak untuk menuntut sebarang harta pusaka yang diwariskan kepada saya. Apatah lagi kedua-duanya telah diberikan bahagian masing-masing sebelum ini,” katanya.

Manakala, katanya, surat pengesahan yang dikemukakan Entusan dan Fauziah untuk ditandatangani Penghulu Sedu pada 26 Jun lalu adalah palsu dan tidak sah kerana ditandatangani oleh orang yang tidak berkenaan terdiri daripada seorang tuai rumah yang belum mendapat pelantikan sah daripada kerajaan, seorang individu yang menyamar sebagai tuai rumah serta empat yang lain.

“Saya telah berjumpa dengan Pegawai Daerah Miri, Boniface Intang Apat untuk mendapat penjelasan dan dimaklumkan hanya tuai rumah dan penghulu sahaja yang ada kuasa untuk mengesahkan surat penyerahan harta pusaka dan bukannya orang biasa,” ujar beliau lanjut.

Sebagai menyokong pengakuannya, Murai turut mengemukakan lapan salinan laporan polis yang dibuat sejak 2004 berhubung tanah miliknya yang dijual oleh dua adiknya itu, surat pengesahan yang menamakan beliau sebagai pewaris tanah pusaka serta surat kaveat ke atas dua bidang tanah NCR yang telah dipindah milik secara senyap oleh dua adiknya itu.

Menurut Murai, surat kaveat ke atas dua bidang tanah itu dibuat pada 14 September 2011 atas nasihat pihak Jabatan Tanah dan Servei (JTS) yang mendapati ada pihak (dua adiknya) ingin menjual tanah pusaka itu yang telah dipindah milik oleh kedua-dua adiknya ke atas nama mereka tanpa pengetahuan beliau sekeluarga.

Selain itu, katanya, dua adiknya itu juga cuba merampas tiga bidang tanah miliknya masing-masing seluas 14.07 ekar, 8.95 ekar dan 2.69 ekar yang disewa kepada sebuah syarikat perladangan kelapa sawit sejak 13 Jun 2006 dengan tujuan ingin mendapatkan wang sewa bulanan tanah tersebut.

“Lebih menyedihkan, Entusan serta beberapa orang rakannya turut bertindak menumbuk dan menendang suami saya kerana saya enggan menyerahkan tanah pusaka tersebut kepadanya”.

Berikutan insiden itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat suaminya, Mamut Nanang, pada 23 Jun tahun ini di Balai Polis Pusat ini.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan pengakuannya ini, tidak ada pihak yang tertipu dengan kegiatan dua adiknya itu yang sering menjual tanah miliknya kepada individu lain selama ini.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.