Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Ambil langkah kawalan elak jejas IPU: Dr Jerip
Ambil langkah kawalan elak jejas IPU: Dr Jerip
Posted on August 18, 2012, Saturday
KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Awam, Dr Jerip Susil memberi peringatan awal kepada pihak-pihak yang akan memulakan aktiviti pembakaran terbuka agar mengambil langkah kawalan untuk memastikan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak terjejas.
Menurutnya, lazimnya pada bulan September, golongan petani, pengusaha dan syarikat-syarikat perladangan akan memulakan aktiviti pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian.
“Dalam beberapa minggu lagi, masyarakat akan memulakan pembakaran dan kami menjangkakan keadaan jerebu akan kembali pada bulan September hingga awal Oktober.
“Berikutan itu, kami berharap Jabatan Alam Sekitar dan pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti perladangan agar mengambil langkah kawalan ketika kerja-kerja pembakaran dilakukan agar tidak menjejaskan IPU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2012 di sini semalam.
Mengulas mengenai perkembangan jerebu ketika ini, Dr Jerip berkata keadaan jerebu di Miri semakin bertambah baik susulan hujan dan kawasan titik panas yang telah ditangani dengan baik.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit keadaan jerebu ketika ini yang mana ia mungkin berpunca dari Kalimantan, Indonesia.
“Setakat ini tidak ada titik panas di kenal pasti di Kalimantan kerana kita belum lagi membuat siasatan dan tidak boleh mengatakan kawasan mana di wilayah ini yang terlibat pada waktu ini, katanya.”
<< Previous Entry - Next Entry >>
Advertisement





