Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Dua lelaki tempatan bernasib baik dikurang hukuman penjara

Dua lelaki tempatan bernasib baik dikurang hukuman penjara

by Clarice Usop. Posted on August 18, 2012, Saturday

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan bernasib baik apabila hukuman penjara mereka dikurangkan selepas sabitan dan hukuman terhadap kesalahan kedua dan tiga kerana memiliki dadah masing-masing diketepikan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Koon Vin Cent, 32, dan Colin Paul Funk, 40, akan dikenakan enam sebatan rotan, yang mana sebelum ini mereka dikenakan 16 sebatan rotan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong kelmarin mengenepikan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan terhadap Koon dan Colin yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah kerana memiliki ganja seberat 89.27 gram di Jalan Bundusan, Penampang, jam 2 petang pada 3 Mac 2010.

Mahkamah juga mengenepikan sabitan dan hukuman penjara empat tahun kerana memiliki ganja seberat 1.38 gram.

Sabitan dan hukuman penjara empat tahun terhadap Colin atas pertuduhan lain kerana memiliki ganja seberat 0.38 gram, juga diketepikan. Kedua-dua kesalahan dilakukan pada tempat dan masa yang sama.

Bagaimanapun, hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan rotan terhadap mereka kerana memiliki ganja seberat 22.99 gram, dan penjara empat tahun atas kesalahan memiliki Nimetazepam seberat 0.74gram dikekalkan mahkamah. Kesalahan itu dilakukan di tempat dan masa yang sama.

Bagaimanapun, Koon dan Colin hanya menjalani hukuman penjara lima tahun selepas hukuman dikekalkan dan diarahkan berjalan serentak.

Pada 3 November tahun lalu, mereka dijatuhkan hukuman itu selepas didapati bersalah atas semua kesalahan itu.

Mahkamah rendah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara empat tahun secara serentak, namun berjalan berasingan dengan hukuman penjara lima dan lapan tahun.

Peguam Nelson W Angang dan Loretto S Padua Sipin Jr mewakili perayu, manakala Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramaniam mewakili pihak responden.

 

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.