Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pembangkang tidak mampu selesai masalah, kata Mawan

Pembangkang tidak mampu selesai masalah, kata Mawan

Posted on August 18, 2012, Saturday

KUCHING: Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pembangkang seka­dar mencanangkan isu-isu di sebalik cadangan pembinaan empangan Baram tetapi mereka tidak mampu menye­lesaikan masalah.

Sehubungan itu, Mawan yang juga Presiden Parti Pro­gresif Demokratik Sarawak (SPDP) memberi jaminan bahawa isu-isu empangan itu akan ditangani dengan sewa­jarnya oleh kerajaan BN.

“Pemimpin BN perlu mendekati rakyat dan tidak membiarkan pembangkang mengambil kesempatan ter­hadap situasi ini. Pembang­kang hanya akan cuba untuk menjadi juara masalah tetapi bukan penyelesai masalah,” katanya sambil menggesa orang ramai untuk memper­cayai kerajaan BN.

Pemimpin-pemimpin BN juga perlu meyakinkan penduduk Baram dengan meredakan kebimbangan mereka mengenai cadangan projek terbabit, jika tidak pembangkang akan men­curi peluang untuk mera­cuni pemikiran mereka, kata Mawan yang juga Menteri Kanan Negeri dan Menteri Pembangunan Sosial.

Bercakap kepada media pada pertemuan makan ten­gah hari di sini semalam, Ma­wan menjelaskan wakil raky­at BN dan pemimpin masyar­akat di kawasan Parlimen Baram telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Perundingan Baram (BCDC) yang diketuai oleh Ahli Parlimennya, Datuk Jacob Dungau Sagan.

“Rakyat mesti memahami bahawa dengan pembinaan empangan Baram dan be­berapa lagi empangan untuk tujuan masa depan, maka pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam akan datang ke kawasan luar bandar,” jelasnya.

Selain pembangunan, skim penempatan semula juga akan diwujudkan untuk mereka yang dipindahkan untuk membuka jalan bagi pembinaan empangan, ka­tanya.

Beliau mengakui terdapat kebimbangan dalam kalan­gan warga Baram ekoran kekurangan skim penempa­tan semula Sungai Asap ke­tika projek empangan Bakun dilaksanakan.

Justeru, katanya, kekuran­gan ketara di Bakun itu perlu dijelaskan kepada rakyat, di­tangani oleh pihak berkuasa supaya skim penempatan semula Baram akan menjadi lebih baik.

Mawan memberi jaminan: “Segala yang tidak dicapai di Bakun, perlu dijelaskan ke­pada rakyat di Baram. Pem­bangkang cenderung untuk memutar belit kekurangan di Bakun. Tetapi kita (kera­jaan BN) boleh memperbaiki perkara ini.”

Baram adalah salah satu daripada empat kerusi Par­limen yang diperuntukkan kepada SPDP oleh BN. Tiga yang lain adalah Mas Gading, Saratok dan Bintulu.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.