KUCHING: Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan minggu ini (dari 12 hingga 17 Ogos) adalah 138 berbanding 203 pada minggu sebelumnya dalam tempoh yang sama.
Satu kenyataan daripada Jabatan Kesihatan Negeri berkata ini menunjukkan penurunan sebanyak 32 peratus. Kebanyakan kes adalah dari Kuching, Sibu, Miri, Kapit, Sri Aman dan Saratok.
Pada 17 Ogos, jumlah terkumpul kes adalah 10,794.
Bilangan kemasukan yang dilaporkan adalah 26, menurun sebanyak 16.1 peratus berbanding minggu sebe-lumnya. Jumlah terkumpul kemasukan 1,048.
“Secara amnya, bilangan kes menurun dan kekal di bawah tahap wabak dan amaran,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, ibu bapa digesa tidak membawa anak-anak mereka ke sekolah atau mana-mana tempat awam yang sesak.
Jika anak-anak mereka mempunyai gejala HFMD dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan awal.
Ibu bapa juga harus memastikan bahawa standard kebersihan diri dan alam sekitar sentiasa dikekalkan di rumah.
Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Operasi HFMD, Jabatan Kesihatan Sarawak ditalian 082-443248.