Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Sarung ketupat sumber rezeki keluarga Mariana

Sarung ketupat sumber rezeki keluarga Mariana

Posted on August 19, 2012, Sunday

SIBU: Musim Hari Raya Aidilfitri tidak dilepaskan oleh Mariana Manan sekelurga untuk menjual sarung ketupat yang telah siap dianyam oleh mereka di Pasar Tamu Pasar Sentral di sini.

Mariana, 33, berasal dari Kampung Sentosa, telah mula menjual sarung ketupat sejak kelmarin bagi kegunaan umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka hari ini.

“Jualan sarung ketupat setakat ini amat menggalakkan. Kelmarin lebih 1,000 sarung ketupat telah dijual,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo, semalam.

Dengan dibantu oleh ibunya, Sebai Sliang, 60, serta tiga adiknya iaitu Mary Manan, Zulkifli dan Mohd Ikhwan, mereka menjual sarung ketupat setiap kali musim perayaan.

Turut membantu Mariana ialah salah seorang anaknya, Andrew Billy Jemat, 14.

Menjelang musim perayaan seperti Gawai Dayak, Krismas dan Hari Raya, permintaan terhadap sarung ketupat amat menggalakkan.

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, mereka akan menjual sarung ketupat sehingga esok (Hari Raya pertama), sekiranya masih ada daun nipah.

Daun nipah bagi membuat sarung ketupat difahamkan diperolehi oleh mereka dari Trusan dan Sarikei.

“Seikat sarung ketupat yang mempunyai 10 biji dijual dengan harga RM2,” katanya sambil memberitahu bahawa jenis sarung ketupat yang dihasilkan ialah ketupat ikat.

Jenis ketupat ikat ini difahamkan lebih senang dianyam dan diisi dengan beras pulut, berbanding sarung ketupat jenis lain.

Sementara menurut seorang pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Zubaidah, dia lebih gemar membeli sarung ketupat yang telah siap kerana ia lebih memudahkan.

“Biasalah menjelang musim perayaan, kita sibuk membuat persiapan lain. Jadi kita tidak punya banyak masa hendak menganyam ketupat.

“Cara paling senang adalah dengan membeli sarung ketupat yang telah siap dianyam,” jelasnya yang membeli 10 ikat sarung ketupat.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.