S’wak kehilangan perwira, Pegawai Waran 2 (Bersara) Indang Engkas

0

KUCHING: Negara kehilangan seorang lagi ‘Bujang Berani’, iaitu mendiang Pegawai Waran 2 (Bersara) Indang Engkas yang telah menghembuskan nafas ter-akhir pada usia 73 tahun di Hospital Umum Sarawak pada 16 Ogos 2012.

Pemergian mendiang merupakan kehilangan besar kepada tanah air terutama di kalangan rakan seperjuangan ketika sama-sama berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan Renjer Malaysia mulai 1962 hingga 1992.

Berpengalaman selama 27 tahun sebagai askar renjer, mendiang yang memegang nombor askar 901742 disifatkan sebagai seorang yang sangat rajin bekerja, komited dan berdisiplin tinggi sepanjang perkhidmatannya.

Meskipun hanya mena-matkan pendidikan di peringkat darjah dua, namun mendiang merupakan salah seorang daripada 14 penerima Pingat Gagah Berani (PGB) daripada kerajaan.

Mengimbas kembali ringkasan kejadian yang memungkinkan mendiang menerima PGB daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada 7 Jun 1972, mendiang berasal dari Rumah Langkau, Kapit ditugaskan membuat rondaan mencari dan musnahkan musuh pada 20 Mei 1972.

Bersama enam anggota yang lain, mendiang yang berpangkat sarjan ketika itu dan kumpulannya berjaya menemui sekumpulan musuh berkekuatan kira-kira 30 orang.

Sarjan Indang terus mengatur serangan mengejut dan berjaya membunuh seorang pengganas.

Penjejakan diteruskan se-hinggalah mereka bertembung semula dengan kumpulan pengganas tersebut.

Semasa mengambil kedudukan untuk membalas tembakan, seorang pengganas wanita mengajukan senjata ke arah Sarjan Indang dan menyuruhnya menyerah diri.

Dengan pantas Sarjan Indang menepis senjata tersebut dan membunuh wanita itu dengan menggunakan parang.

Beliau terus bergerak ke hadapan dan bertemu dengan seorang pengganas wanita yang cedera.

Tanpa membuang masa Sarjan Indang menghayunkan parang dan membunuh pengganas tersebut.

Serangan diteruskan dan hasilnya lima orang musuh berjaya dibunuh.

Keseluruhannya mereka berjaya membunuh tujuh pengganas dan turut me-rampas 11 laras senjata dan peralatan lain.

Mendiang meninggalkan balu, Anna John dan enam orang anak, Lorita, Lora, Christina, Monica, Melisa dan Morses (lelaki).

Dalam pada itu suasana pilu dan sebak menyelubungi kediaman mendiang yang terletak di Taman Malihah di sini malam kelmarin (Jumaat), bagi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan pagi semalam.

Mendiang dikebumikan di Tanah Perkuburan Methodist, Jalan Kuching-Serian di sini atas persetujuan bersama.

Antara yang hadir memberikan penghormatan ter-akhir kepada mendiang dan keluarga ialah Temenggung Datuk Kanang Langkau dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.