Kerja meletupkan batu di Jeram Pelagus hampir selesai

1

KUCHING: Kerja melet­upkan batuan besar dan batu-batan yang menganjur di Jeram Pelagus di hulu Ba­tang Rajang yang kini hampir selesai, mengurangkan bahaya kepada bot ekspres komersil untuk dikemudi di laluan itu, kata Pengerusi Lembaga Sungai-sungai Sarawak Datuk Roland Sagah. Beliau berkata projek berni­lai RM9 juta itu, yang dijangka siap menjelang bulan depan, akan memudahkan pelayaran semua kenderaan air terutama di laluan tertentu di sungai itu, lebih-lebih lagi ketika musim kemarau apabila lalu lintas sungai tergendala disebabkan paras air rendah.

“Keseluruhannya, saya gembira kerana bot kecil kini boleh melalui banyak bahagian alur sungai yang dibersihkan daripada batuan besar ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ai­dilfitri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di sini semalam.

Pada masa ini, tiada jalan raya yang menghubungkan Kapit ke hulu Sungai Belaga, apabila penduduk luar bandar yang menghuni 20 rumah panjang terpaksa bergantung kepada bot ekspres komersil yang melalui sungai itu.

Mengenai bangkai kapal, Sagah berkata kekurangan dana dan air keruh menghalang kerja untuk mengalih bangkai kapal yang dianggarkan 100 buah dari dasar sungai.

Beliau berkata helikopter Eurocopter yang terhempas ke dalam muara Sungai Lingga, Sri Aman pada 20 Julai tahun ini dan mengorbankan tiga penumpang, turut dianggap sebagai bangkai namun kerja mengalihkannya hanya akan di­jalankan sementara menunggu siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkaitan. — Bernama