Mayat lelaki ditemui di bilik hotel bajet Kampung Air

2

KOTA KINABALU: Beberapa penghuni sebuah hotel bajet di Kampung Air gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki tempatan di dalam bilik hotel pada satu kejadian di sini kelmarin.

Dalam insiden awal pagi kelmarin itu, salah seorang pekerja hotel bajet terbabit dikatakan memeriksa bilik yang dihuni mangsa namun berasa curiga ekoran ianya dikunci menggunakan mangga dari arah luar.

Setelah memeriksa keadaan bilik berkenaan, dikatakan seorang lelaki yang dipercayai ditemui sudah tidak bernyawa dengan keadaan berlumuran darah.

Mangsa dikenali sebagai Wong Kian Vui, 49, dan berasal dari Pitas itu dipercayai telah menginap di hotel berkenaan pada 12 tengah malam sebelum kejadian berlaku.

Turut difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah dari arah bahagian belakang kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun mengesahkan kejadian terbabit namun kes itu masih dalam siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Bagaimanapun, polis kini masih menyiasat mengenai punca kejadian,” katanya.