Remaja diserang buaya ketika mandi di pantai

1

KUCHING: Niat seorang remaja ingin meluangkan cuti sekolah bersama rakan-rakannya bertukar tragedi selepas dia diserang seekor buaya ketika mandi di sebuah pantai di sini pagi semalam.

Terdahulu menurut sumber, mangsa yang berusia 14 tahun, bertolak dari rumahnya sekitar jam 5 pagi bersama rakan-rakannya dan tiba di pantai tersebut yang terletak di Pasir Panjang, Santubong, kira-kira jam 7 pagi.

Selepas beberapa ketika di pantai, mangsa bersama rakan-rakannya kemudian bercadang untuk berenang memandangkan keadaan pantai yang tenang dan kelihatan selamat.

Tanpa menyedari perkara buruk akan berlaku, mangsa yang dikatakan berada tidak jauh dari rakan-rakannya tiba-tiba seolah-olah sedang ‘bertarung’ dengan sesuatu yang menyebabkan beberapa rakannya segera mendekati mangsa.

Selepas diberitahu dirinya digigit sesuatu, rakan-rakan kemudian segera menarik mangsa ke darat sebelum terlihat kelibat sang bedal dipercayai sepanjang lima kaki terapung tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kaki kemudian segera dihantar oleh rakan-rakannya menggunakan sebuah motosikal ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sehingga berita ini ditulis, keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di HUS.