RM100,000 diperuntukkan kepada mangsa kebakaran Kampung Nangka

0

SEDIA MEMBANTU: Taib (tengah) dan Ragad ketika mengadakan lawatan ke rumah mangsa kebakaran di Kampung Nangka. Turut kelihatan ialah Jabu (empat kiri), Wong (tiga kanan) serta yang lain.

SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib semalam telah meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Nangka di sini.

Dalam lawatan singkat selepas mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman wakil-wakil rakyat dan ketua kaum di sini, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada mangsa kebakaran.

“Saya berharap wakil rakyat iaitu Dr Annuar (Rapaee) akan bertemu dengan pihak Jabatan Tanah dan Survei untuk membincangkan dan mencari lot tanah di penempatan semula di Teku bagi membina kediaman baharu kesemua mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Turut mengiringi Ketua Menteri serta isteri ialah Timbalannya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Temenggung Vincent Lau, Residen Sibu Sim Kok Kee serta yang lain.

Dalam kejadian subuh raya kedua itu, 15 keluarga melibatkan 83 penduduk Kampung Nangka kehilangan tempat tinggal setelah rumah mereka ranap dijilat api.

Kejadian kebakaran itu telah menyebabkan sambutan Hari Raya tahun ini tidak bermakna setelah sembilan buah rumah hangus manakala tiga lagi rosak di bahagian dapur.