Bekalan ikan cukup, harga stabil

0

SEORANG penjual menyusun ikan di gerainya.

KOTA KINABALU: Walaupun Hari Raya Aidilfitri sudah masuk hari yang kelima, kebanyakan nelayan sudah mula turun ke laut sejak Rabu lepas untuk menangkap ikan.

Malahan kebanyakan peniaga yang menjual ikan juga membuka perniagaan mereka semula.

Seorang peniaga, Ahmadin Muhuddin, 23, berkata walaupun sibuk dengan sambutan Aidilfitri, kebiasaannya cuti yang diambil hanyalah selama dua hari sebelum membuka kembali perniagaan.

Menurutnya, kapal-kapal khas yang menangkap ikan juga telah mula turun ke laut bermula kelmarin, kerana sempena dengan Hari Raya sememangnya tiada kapal yang turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Antara kapal-kapal yang telah mula bergerak ialah Kapal Pancing ‘Pam Bot’, Kapal Pukat Rantai yang dikhaskan untuk menangkap ikan kayu dan tenggiri, dan Kapal Jurut yang hanya menangkap ikan-ikan bersaiz besar.

“Dari segi kuantiti tangkapan, kapal Pam Bot mampu membawa kuantiti sebanyak 50 hingga 100 kilogram, 100 kilogram bagi kapal pukat rantai dan kapal jurut sebanyak 20 tan dan ke atas,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di sini, kelmarin.

Tinjauan Utusan Borneo juga mendapati harga ikan-ikan berkenaan masih terkawal dan tidak mengalami sebarang kenaikan ketara.

Namun katanya, peniaga tidak memberi jaminan keadaan itu akan kekal sepanjang masa, ini kerana peniaga bergantung kepada permintaan pelanggan.

Ahmadin berkata, harga ikan juga tidak dapat diramal kerana ia bergantung kepada bekalan yang diperoleh daripada pembekal.

Walaupun begitu, harga ikan masih terkawal namun terdapat kenaikan harga antara 10 dan 20 peratus bagi ikan bersaiz kecil kerana bekalan masih kurang.

Sementara itu, bagi seorang penjual ikan, Alnis Rekto, 26, antara ikan yang dijual kini adalah ikan kayu, putih, kembung, tuna, baulu, merah, kerisi, udang dan sotong manakala bekalan dan tangkapan bagi ikan basung dan ketam masih kurang.

Harga ikan yang dijual di pasar berkenaan bermula daripada RM5 sekilogram hingga RM12 mengikut jenis masing-masing.