Utama reka bentuk rumah

0

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Perumahan sentiasa menitikberatkan kesesuaian reka bentuk rumah mampu milik dengan keperluan serta kepelbagaian kategori pemohon.

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata rumah kos rendah dibina akan dipastikan tidak hanya mampu dimiliki tetapi menjadi tempat yang sesuai didiami oleh individu dan keluarga.

Bagaimanapun katanya, kementerian terbuka untuk melihat, mengkaji dan menerima idea-idea serta reka bentuk rumah mampu milik yang lebih baik, murah dan aspek paling penting ia sesuai dijadikan tempat kediaman.

“Kalau harga rumah murah tetapi keadaannya tidak sesuai untuk didiami oleh sebuah keluarga atau individu, saya rasa ia bukan idea yang bagus.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kerajaan sememangnya ada reka bentuk-reka bentuk rumah sesuai untuk pelbagai kategori pemohon dan pada masa sama mengambil kira pelbagai aspek keperluan semasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung yang menyatakan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan konsep pembinaan rumah asas, idea yang dicadangkan oleh Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) dan kementerian itu.

Menurut Chor, rumah asas itu hanya dilengkapi dapur dan bilik air serta sistem pendawaian elektrik dan paip tanpa dinding untuk ruang tamu atau bilik tidur dijual 30 peratus lebih murah daripada harga rumah sekarang.

Konsep rumah asas itu katanya, akan membolehkan pembeli mengubah suai ruang dalam rumah mengikut cita rasa dan keperluan masing-masing.

Chor menambah, keupayaan menyediakan rumah mampu milik kini menjadi masalah serius di seluruh negara terutama bagi golongan pertengahan berikutan peningkatan harga bahan binaan dan kos sara hidup.