Komponen perlu tepis isu remeh

0

BN akan terus kukuh dengan satu visi menang pilihan raya: Fatimah

KUCHING: Isu remeh sepatutnya tidak menjadi punca perpecahan atau perbalahan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama menjelang pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, perkara tersebut perlu diketepikan sebaliknya setiap ahli perlu terus mengukuhkan perhubungan.

“Memang tidak semua kita sependapat, namun kita perlu mempunyai satu visi untuk memastikan calon BN menang pada pilihan raya.

“Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri tetapi perlu terus bekerjasama untuk memastikan BN menang selesa,” katanya semasa mengunjungi Rumah Terbuka Ahli Politik Veteran Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi di sini, semalam.

Menurutnya, semangat perpaduan juga perlu dikekalkan bagi memastikan BN terus utuh dan relevan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga mahu pemimpin wanita dalam PBB mencontohi corak kepimpinan yang dipamerkan Mordiah semasa menjadi Ketua Wanita PBB sebelum ini.

“Saya menziarahinya pada hari ini (semalam) adalah sebagai tanda pengiktirafan atas segala pengorbanan yang diberikan semasa menerajui Pergerakan Wanita PBB,” ujarnya.

Tambahnya, Pergerakan Wanita PBB perlu dimantapkan agar terus relevan kepada rakyat negeri ini.

Sementara itu, Mordiah mengingatkan pemimpin muda parti komponen BN di negeri ini agar mengamalkan semangat sukarelawan semasa menunaikan tanggungjawab dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, pada masa sekarang semangat sukarelawan sudah mula terhakis kerana ada dalam kalangan pemimpin perlu dijemput atau dimaklumkan lebih awal untuk melaksanakan sesuatu.

“Perbezaan dahulu dengan sekarang memang ada, terutama dari segi semangat sukarelawan… dahulu kita tidak perlu dijemput dan sendiri datang.

“Keadaan ini mungkin disebabkan perkembangan semasa yang lebih canggih, moden dan ekonomi yang lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagaimanapun memuji usaha BN negeri kerana mampu mengekalkan keadaan seperti dahulu terutama dari segi kekuatan dan penyertaan masyarakat.

“Walaupun berbeza dari segi corak kepimpinan, pemimpin sekarang masih mampu memimpin dengan baik dengan cara lebih terbuka dengan mengikut perkembangan semasa,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai parti pemerintah yang banyak berjasa, BN akan terus menjadi pilihan rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Saya yakin rakyat Sarawak faham dan mempunyai kualiti dari sudut pemikiran dan pemilihan semasa pilihan raya kerana mereka mengenang jasa BN.

“Apabila tiba pilihan raya, saya yakin BN tidak berdepan masalah,” jelasnya.

Mengulas mengenai prestasi semasa pemimpin muda BN di Sarawak, beliau berkata, pemimpin muda memerlukan masa untuk melengkapkan diri menjadi pemimpin kukuh.

“Memang tidak dinafikan taraf pendidikan mereka tinggi namun mereka orang baharu dalam parti dan banyak perkara yang perlu dipelajari,” kata Mordiah.