Satu lagi ceramah SWP hampir cetus pergaduhan

6

LUBOK ANTU: Pergaduhan hampir tercetus di antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan penyokong Parti Pekerja Sarawak (SWP) semasa ceramah politik anjuran SWP yang diadakan di Rumah Charlie Aji, Empit Lubok Antu, di sini baru-baru ini.

Kejadian dipercayai bermula apabila seorang lelaki memukul pintu sambil berteriak ke arah Presiden SWP, Larry Sng Wei Shien yang sedang berucap ketika itu agar balik dan jangan membohongi rakyat di kawasan Lubok Antu.

Tersentak dengan itu, Larry terpaksa menghentikan ucapannya dan melihat kejadian terbabit, seorang lelaki yang dipercayai penyokong SWP melontar batu ke arah lelaki berkenaan sambil mengajaknya bertumbuk.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya dibawa balik oleh rakan-rakannya dari rumah panjang itu menaiki sebuah kenderaan tidak lama kemudian.

Sementara itu, campur tangan anggota polis di rumah panjang itu dilihat berjaya mengawal keadaan pada malam terbabit.

Dalam perkembangan sama, kehadiran para pemimpin SWP berceramah di rumah panjang itu difahamkan mendapat bantahan hebat majoriti penghuninya.

Berikutan enggan mendengar ceramah itu, ramai penduduk rumah panjang itu bertindak meninggalkan majlis terbabit dan mengadakan majlis berasingan di sebuah rumah lain berdekatan.

Malah, ada di antara mereka memberi amaran kepada penceramah SWP agar jangan menyerang peribadi pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak semasa memberi ceramah mereka pada majlis itu.

Selain Larry, turut berucap pada majlis itu ialah bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelagus George Lagong, Naib Presiden SWP Josephine Mawat dan Johnantan Jalin.

Larry bersama rombongan meninggalkan majlis pada kira-kira jam 12 malam.