STU: Latih anak tempatan atasi kekurangan guru agama Islam

2

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa supaya lebih ramai anak tempatan dilatih untuk menampung masalah kekurangan guru agama Islam di negeri ini.

Presidennya William Ghani Bina berkata, pengambilan guru-guru dari Semenanjung Malaysia bukan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar terbabit.

Ini kerana, menurutnya, guru-guru dari Semenanjung Malaysia sukar untuk membiasakan diri dengan keadaan kebanyakan sekolah di negeri ini, terutama di kawasan pedalaman yang serba kekurangan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada guru dari Semenanjung Malaysia terutama melibatkan sekolah-sekolah pedalaman kerana kebanyakan daripada mereka sukar untuk membiasakan diri dengan keadaan daif kita di sini.

“Justeru, adalah lebih baik jika kementerian melatih golongan lepasan sekolah tempatan untuk berkhidmat semula sebagai tenaga pengajar di kawasan masing-masing.

“Melalui cara ini, ia bukan sahaja dapat mengatasi masalah kekurangan guru (malah) secara tidak langsung membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Persidangan Ke-21 STU di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, William turut menyatakan rasa gembira terhadap maklum balas positif pihak kementerian untuk menempatkan 60 peratus tenaga pengajar tempatan di negeri ini.

“Kami kakitangan guru amat sayangkan kerajaan sedia ada, tetapi kerajaan mesti memberi maklum balas kepada permasalahan yang dibangkitkan oleh para guru berkaitan dengan hal pendidikan,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan STU, William yang telah memegang jawatan Presiden mulai tahun 1992 menggesa semua ahli supaya meneruskan usaha membangunkan STU ke arah yang lebih baik.