DEBAK: Kira-kira 2,000 masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas telah menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kelab Rukun Tetangga (KRT) dan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Debak 2012 yang berlangsung di Dewan Lakid, Debak di sini semalam.
Dalam majlis tersebut, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dato Sri Douglas Uggah Embas menyampaikan ucapannya dan menyeru semua rakyat agar meneruskan semangat perpaduan di kalangan semua kaum dalam membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan bekerjasama dalam membangun negeri agar tidak ketinggalan daripada masyarakat lain di negara ini.
“Sejak negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu, pelbagai perancangan telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membangun dan memberi kemudahan kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama.
“Kejayaan ini dicapai atas kesepakatan antara pemimpin dan rakyat yang dipelopori bersama pemimpin terdahulu yang berjaya membawa negara kepada sebuah negara yang membangun dengan pesat,” katanya.
Dalam pada itu katanya, banyak perkara yang harus diambil perhatian bersama di mana rakyat juga perlu mengetahui berhubung masalah yang dihadapi agar dapat menyumbang kepada pembentukan serta jalinan semangat kerjasama dan kata sepakat dalam mengatasi kekurangan yang dialami.
“Memang tidak dinafikan bahawa terdapat juga masalah yang timbul namun dengan perbincangan yang teliti maka setiap masalah akan dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” tegasnya.
Disebabkan itulah katanya, pemimpin akan turun padang untuk melihat masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan mereka selain menyelesaikan perkara-perkara yang membabitkan pemimpin untuk membantu.
“Kita akan memastikan setiap keperluan pembangunan akan memuaskan hati rakyat dan setiap peruntukan sampai kepada golongan sasar yang selayaknya menerima bantuan yang disalurkan oleh kerajaan,” jelasnya.
“Dalam usaha itu, kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk bekerja keras membantu kerajaan menyampaikan kehendak rakyat dan mencapai tujuan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis yang turut dihadiri oleh ADUN Saribas Mohamad Razi Sitam, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat dan penduduk di sekitar DUN Saribas.
Tambahnya, semangat bermesyuarah harus diteruskan agar perpaduan kaum yang sejak dahulu dapat dicapai sampai bila-bila kerana ini merupakan kunci untuk mengekalkan perpaduan yang menjadi kebanggaan negara kita yang tidak terdapat di beberapa negara yang tidak mengamalkannya.
Ini katanya, akan menimbulkan kucar-kacir dan keselamatan akan menjadi masalah utama jika kita tidak mementingkan nilai murni dan bersatu dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Jangan jadi beberapa negara lain yang tidak dapat mengamalkan kerjasama di kalangan rakyat dan pemimpin, yang akhirnya akan berpecah-belah dan perbalahan kaum akan berlaku.
“Kita di sini bersyukur kerana kita mempunyai negara yang aman damai dan perpaduan yang rapat di kalangan pelbagai kaum dan penduduk di sini.
Semantara itu dalam majlis yang sama beliau telah mengumumkan tambahan sebanyak RM200,000 untuk membina tebatan banjir di beberapa kawasan di Kampung Bungey yang masih memerlukan penambahbaikan.
Selain itu, untuk merancakkan pembangunan di kawasan Debak, beliau telah berbincang dengan ADUN Saribas dan merancang untuk membesarkan kawasan pekan Debak dengan membina bandar baharu yang dilengkapi dengan kemudahan asas untuk rakyat di kawasan terbabit.
“Kawasan DUN Saribas mempunyai populasi penduduk yang melebihi 12 ribu orang, maka seharusnya dengan masyarakat yang ramai kita selayaknya menikmati kemudahan dan pembangunan yang sebaiknya.
Dalam pada itu juga katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi pembinaan dewan masyarakat yang baharu yang mampu memuatkan kuantiti yang lebih ramai bagi menjayakan pelbagai majlis.
“Kami telah berbincang dengan pihak berwajib untuk menilai kawasan tapak yang telah dipersetujui dan pelan juga telah diserahkan kepada mereka untuk kelulusan bagi mendirikan pembangunan yang lebih tersusun di kawasan sini,” ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan sebanyak RM210,000 untuk surau dan masjid di kawasan Debak dan cek tersebut telah disampaikan kepada penerima semasa majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada masyarakat di kawasan Debak baru-baru ini.
“Dasar membina pembangunan untuk rakyat dan membela nasib rakyat yang tidak mengira bangsa dan agama akan kita teruskan bagi mencapai negara maju yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.
Sementara itu Uggah juga telah berbincang dengan pihak FAMA untuk menganjurkan Pasar Tani sekurang-kurangnya sebulan sekali dan akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Salah satu produk yang boleh kita majukan dari kawasan ini ialah ‘lemantak’ yang dihasilkan daripada tanaman rumbia.
“Daripada produk tersebut kita juga dapat menghasilkan pelbagai produk yang dapat dipasarkan dan diusahakan oleh penduduk kampung seperti menghasilkan kuih sepit serta pelbagai makanan lain yang dapat diusahakan,” tekan beliau.
“Bagi mereka yang telah tersenarai dan terlibat dalam program 1Azam, bolehlah meneruskan usaha untuk membangun diri dan manfaatkanlah peluang yang diberikan untuk menambah pendapatan serta gunakanlah sebaiknya apa yang telah diberikan,” tegas beliau.
Selain itu juga beliau mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3,000 untuk setiap satu daripada sembilan JKKK di kawasan Kampung Melayu Debak serta jumlah yang sama untuk lima cawangan jawatankuasa khairat di kawasan yang sama.
Sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini juga, pihak penganjur telah menjalankan pelbagai program bagi memeriahkan Hari Raya di kawasan terbabit antaranya ialah Pertandingan Pintu Gerbang, Pertandingan Rumah Berhias, Pertandingan Bola Sepak dan Pertandingan Gerai Tercantik.
Hadiah-hadiah kemenangan turut disampaikan oleh kedua-dua wakil rakyat semasa majlis tersebut.