DUBS Samarahan bantu usahawan belia

0

RUMAH TERBUKA: Ismawi (lima kanan) bersama ahli-ahli DUBS Samarahan ketika mengunjungi rumah terbuka Nancy di Kuching, Sabtu lalu.

KUCHING: Dewan Usaha­wan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Samara­han bersedia membantu go­longan usahawan belia bagi memajukan pelbagai bidang keusahawanan mereka.Pengerusinya Ismawi Mu­hammad berkata DUBS Samarahan telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memajukan ahli-ahlinya.

Katanya, antara kerjasama yang telah dilakukan ialah latihan dan kursus keusaha­wanan dalam bidang-bidang kontraktor binaan, perusa­haan dan sebagainya.

“Kami telah mengadakan beberapa kursus dan latihan untuk para kontraktor binaan tempatan bagi menambah kemahiran dan pengalaman mereka,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Ter­buka Aidilfitri di kediaman Ahli Parlimen Batang Sa­dong Nancy Shukri kelmarin (Sabtu).

Menurut Ismawi, kursus latihan kemahiran Installer Sistem Binaan Berindustri (IBS) merupakan langkah proaktif DUBS Samarahan membantu golongan usaha­wan kontraktor belia.

Beliau berkata kursus IBS dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Lembaga Pem­bangunan Industri Binaan (CIDB).

Katanya, dua syarikat kon­traktor tempatan iaitu Swak­kom Enterprise Sdn Bhd dan ABB Trading Sdn Bhd menjadi fasilitator dalam kursus-kursus terbabit.

“Kami berharap dapat melahirkan ramai kontrak­tor binaan kalangan belia yang memiliki pengalaman luas dalam bidang terbabit,” katanya.

Beliau menambah peng­gunaan kaedah sistem IBS amat diperlukan pada masa ini untuk membolehkan pelaksanaan pembinaan pem­bangunan lebih efektif.

Ismawi berkata penggu­naan kaedah IBS di pusat-pusat komersial memberi keyakinan kepada orang ra­mai mengenai kualiti struktur bangunan terbabit.

“Justeru, kami yakin peng­gunaan kaedah IBS dapat membantu para kontraktor binaan Bumiputera mening­katkan hasil kerja mereka,” katanya.