Landskap Kuching akan diubah, dinaik taraf mulai tahun depan

0

KUCHING: Tahun depan akan bermula usaha kerajaan untuk menaik taraf dan mengubah landskap bandar raya ini, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, usaha tersebut termasuk membina jambatan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal dari Tebingan Kuching ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membina jeti di sepanjang Sungai Sarawak.

“Ini akan menjadi satu perubahan di Kuching dan pada masa sama meningkatkan bilangan kehadiran pelancong dan pelawat untuk menikmati apa sahaja perkhidmatan yang disediakan,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 2012 Santubong Homestay di sini, semalam.

Bagaimanapun menurutnya, masalah sekarang masih lagi bertumpu kepada perhubungan udara yang menyebabkan impak negatif kepada industri pelancongan bukan sahaja di bandar raya ini malah seluruh negeri.

“Kita akan berusaha agar penerbangan terus Kuching-Singapura, Kuching-Kuala Lumpur dan Australia dan Jerman ditambah. Namun perkara ini masih dalam perbincangan,” ujarnya.

Dalam pada itu menurutnya, kerajaan negeri turut merancang mewujudkan kawasan pelancongan khusus di bandar raya ini dan utara Sarawak bagi menyemarakkan industri pelancongan dan untuk menjana pendapatan.

“Dua kawasan yang dikenal pasti ialah di Kuching dan utara Sarawak.

“Kementerian saya diarahkan untuk mengkaji pendekatann baharu ke arah ini.

“Limbang juga akan dimasukkan dalam rancangan ini dengan kerjasama dengan Brunei,” jelasnya.