Site Last Updated 1:25 pm, Friday

Masyarakat pelbagai kaum, agama diseru saling hormat-menghormati

Posted on August 27, 2012, Monday

ALBUM RAYA: Harden (duduk tiga kanan), Jolly (duduk lima kanan), Simba (dua kanan) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama ahli keluarga Jolly serta tetamu yang lain semasa majlis rumah terbuka Jolly Rambli.

SRI AMAN: Masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini diseru agar saling hormat-menghormati bagi menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan sentiasa aman sejahtera.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan  Datuk Francis Harden Hollis berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua anggota masyarakat untuk memastikan keamanan yang dikecapi sekarang berkekalan.

“Kalaulah masyarakat kita tidak menghormati agama, kepercayaan atau tradisi kaum-kaum yang ada di negeri ini, sudah tentu tiada perpaduan antara kita.

“Oleh itu, sikap toleransi amat diperlukan bagi memastikan negeri dan negara kita terus mengecapi kemajuan, “ katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Ketua Kampung Zon Paya Jaya Utara Kampung Muhibbah Jolly Rambli dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, rakyat negeri ini amat bertuah kerana dapat hidup dalam satu masyarakat majmuk yang terdiri daripada penganut agama Kristian, Islam, Buddha dan sebagainya dan saling hormat menghormati-menghormati antara satu sama lain.

“Sikap seperti inilah yang kita inginkan, sekali gus memupuk semangat perpaduan.

“Kita bersyukur kerana perpaduan menerusi faktor keagamaan ini jelas terbukti bahawa kita dalam masyarakat berbilang bangsa dapat berkumpul dalam suasana yang harmoni menerusi semangat 1Malaysia,” jelasnya.

Tambah Harden lagi, kewujudan pelbagai agama seperti agama Islam, Kristian, Buddha dan pelbagai lagi sebenarnya bukan halangan bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk bercampur gaul sebaliknya ia melambangkan rakyat di negara ini saling bersatu padu serta hormat menghormati antara satu sama lain walaupun kita berbeza anutan agama.

Justeru katanya, jangan menjadikan alasan perbezaan agama dan kaum sebagai halangan untuk kita semua tidak bersatu hati membangunkan negara ini sebaliknya kita semua perlu berganding bahu dalam memastikan negara kita terus aman dan damai.

Turut bersama-sama mengiringi kunjungan beliau berkenaan, isteri beliau, Datin Simba Nallang, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak DUN Simanggang Vincent Roy Muda serta ketua masyarakat setempat.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.