Terminal Penumpang Sibu sesak lagi

0

SESAK: Keadaan orang ramai yang sesak sudah menjadi kebiasaan di TPS setiap kali musim perayaan.

SIBU: Sudah menjadi kelaziman Terminal Penumpang Sibu (TPS) setiap kali musim perayaan akan dibanjiri orang ramai yang ingin pulang ke rumah, sekolah dan tempat kerja masing-masing setelah menghabiskan cuti perayaan mereka.

Sesi sekolah yang bermula hari ini selepas bercuti selama satu minggu lebih menyebabkan ramai pengguna memenuhi TPS semalam untuk menggunakan perkhidmatan bot-bot ekspres ke destinasi tujuan mereka seperti di Kapit, Daro, Kuching dan Song.

Seorang guru, Aiman Fitri Mohd Seruji, 25, memberitahu bahawa beliau sememangnya akan menggunakan perkhidmatan bot ekspres ke Kapit kerana ia merupakan satu-satunya pengangkutan awam yang dapat pergi ke sana.

“Bot ekspres adalah pengangkutan utama untuk masuk dan keluar dari Kapit selama saya mengajar di Kapit,” jelas Aiman yang sudah dua tahun mengajar di Kapit.

Aiman yang berasal dari Sarikei turut  berpuas hati dengan perkhidmatan bot ekspres yang disediakan.

“Sepanjang dua tahun ini, saya lihat ada sedikit peningkatan dari segi servis dan kemudahan yang disediakan oleh pihak bot ekspres lebih-lebih lagi jika bot ekspres yang lama diganti dengan bot-bot baharu,” katanya.

Aiman turut berharap perkhidmatan sebegini dapat berterusan dan kalau boleh ditingkatkan lagi demi menjamin keselesaan dan keselamatan penumpang-penumpang yang menggunakannya.

Sementara itu, Mohd Syukri Firdaus, 26, seorang jurutera di sebuah syarikat swasta pula memberitahu bahawa suasana sesak selepas musim perayaan di TPS sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya.

“Saya akan datang awal ke sini (TPS) untuk membeli tiket secepat yang boleh, takut-takut bot ekspres akan penuh dengan penumpang,” katanya.

Menyentuh mengenai perkhidmatan bot ekspres pula, Syukri berpuas hati dengan perkhidmatan yang ada sekarang, cumanya beliau mencadangkan agar bangunan TPS diperbesarkan untuk menampung kehadiran penumpang yang ramai pada sesuatu ketika.

“Kalau dapat diperbesarkan ruang legar menunggu dan perbanyakkan kerusi bagi memberi keselesaan kepada yang menunggu khususnya mereka yang terpaksa menunggu lama,” katanya ketika ditemu bual Utusan Borneo semalam.

Syukri yang berasal dari Kuching berkata beliau telah tiga tahun menggunakan perkhidmatan bot ekspres dan berharap agar kemudahan jalan raya yang menghubungkan Sibu ke Kapit dapat disiapkan dengan segera bagi mengurangkan kesesakan di TPS pada masa akan datang.

Sementara itu, William Ganya, 61, memberitahu bahawa keadaan sesak selepas musim perayaan merupakan suasana biasa yang berlaku di TPS.

“Bukan sahaja Hari Raya, tetapi pada ketika perayaan lain seperti Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina juga keadaan ini berlaku,” katanya yang ingin pulang ke Song setelah melawat rumah anaknya di bandar ini semalam.

William menyatakan bahawa keadaan memang bertambah sesak sekiranya ia berselisih dengan sesuatu yang penting seperti permulaan sesi persekolahan.

“Orang ramai semuanya hendak pulang ke tempat masing-masing untuk bekerja, bersekolah dan meneruskan kehidupan di tempat sendiri,” jelasnya.

Beliau yang kerap ke Sibu menyifatkan perkhidmatan bot ekspres ketika ini dalam keadaan yang memuaskan berbanding 10 dan 20 tahun dahulu.

“Dulu tiada terminal sebegini, keadaan sudah jauh berbeza sekarang semua urusan berlangsung dengan cepat,” kata William.