Mangsa kebakaran hargai sumbangan daripada orang ramai

0

RANAP: Abu Bakar menunjukkan rumahnya yang ranap serta-merta akibat kebakaran pada Hari Raya kedua lalu.

SIBU: Sumbangan daripada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu mangsa-mangsa kebakaran sembilan rumah di Kampung Nangka baru-baru ini sangat dihargai penduduk di situ.

Abu Bakar Ishak, 39, yang juga salah seorang daripada pemilik rumah yang hangus tempoh hari berkata, sejak hari kejadian hingga kini beliau tidak putus-putus menerima bantuan daripada mereka yang prihatin.

“Syukur alhamdulillah, saya berpuas hati dengan bantuan yang diberikan oleh pihak yang membantu termasuk sokongan daripada penduduk setempat.

“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat secara lansung atau tidak langsung termasuk YB Dr Annuar yang melakukan lawatan pada hari kejadian,” luah Abu Bakar kepada Utusan Borneo yang membuat tinjauan ringkas ke tapak kebakaran itu kelmarin.

Katanya selain jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, mangsa-mangsa kebakaran turut menerima sumbangan daripada pihak swasta seperti bank-bank dan Kumpulan KTS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Lion Club dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI).

“Baitulmal menghulurkan bantuan dalam bentuk wang bernilai RM300 untuk setiap keluarga sementara Dr Annuar menyumbang RM150 untuk setiap mangsa kebakaran untuk membeli kelengkapan pakaian.

“JKM pula memberi keperluan dapur seperti dapur memasak dan barangan dapur untuk makan,” katanya.

Jelas Abu Bakar, pihaknya turut menerima bantuan daripada orang persendirian yang memberi barangan keperluan seperti beras, gula dan sebagainya.

Buat masa sekarang katanya, mangsa-mangsa yang terlibat terpaksa mengenakan pakaian terpakai untuk menjalani kehidupan seharian kerana kebanyakan pakaian serta harta benda sudah hangus dijilat api.

“Kami gunakan apa yang ada, selagi ia dapat menutup aurat ia sudah cukup bagi kami,” katanya yang menyifatkan kejadian tempoh hari sebagai ujian dan mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Beliau menganggarkan kerugian yang ditanggung untuk rumah beliau sahaja adalah sekitar RM150,000.

Pada masa yang sama, Abu Bakar turut merancang untuk membina kembali rumah baharu di tapak rumah yang hangus itu dengan peruntukan sendiri kerana ia tidak termasuk dalam skim bantuan yang diterima mangsa-mangsa kebakaran.

“Buat masa sekarang, saya mendiami rumah saudara di Teku sementara menyelesaikan semua perkara penting seperti menguruskan insurans kenderaan, membuat sijil lahir dan kad pengenalan baharu selesai,” jelas beliau yang juga menyatakan sebanyak lima motosikal turut rentung dalam kejadian ngeri pada awal pagi 2 Syawal itu.

Menyentuh mengenai mangsa-mangsa dari rumah-rumah lain, beliau memberitahu, kebanyakan mereka sekarang sedang menumpang di rumah saudara-mara dan rumah jiran-jiran.

Kebakaran terburuk sejak Jun lalu di Sibu itu telah menyebabkan 65 penduduk hilang tempat tinggal dan harta benda sementara adik kepada Abu Bakar turut mengalami kecederaan dan kini semakin pulih walaupun masih mengalami kesakitan dan kedutan akibat melecur.