Program 3+1 atasi kebanjiran PTI

0

MENTEK (dua kiri) bersama pegawai-pegawai imigresen dan tetamu di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen memperkenalkan program 3+1 bagi mengatasi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

Pengarahnya, Mohammad Mentek  berkata di bawah program itu, semua permohonan yang melibatkan PTI akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 dan pas khas (RM100), dan majikan dibenarkan untuk memohon Journey Perfomed Visa (JP Visa) dengan bayaran RM500 tertakluk pada kelulusan.

“Sehingga ke hari ini, masih terdapat rayuan daripada pihak majikan terutamanya dari sektor perladangan dan pertanian untuk mengambil pekerja asing mereka sedangkan fasa pendaftaran pemutihan bagi kedua-dua sektor itu telah tamat pada 1 Julai lepas,” katanya.

Menurut beliau lagi, program itu diperkenalkan setelah menyedari hakikat kelewatan pengeluaran pasport oleh konsulat berkenaan khususnya kepada pekerja asing yang berdaftar di bawah Program 5P (Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) di negeri ini.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperkenalkan program 3+1 bagi mengatasi masalah kebanjiran PTI di negeri Sabah,” katanya.

Mentek berkata, pengenalan 3+1 terbabit adalah didorong faktor kebimbangan majikan terhadap pekerja mereka tidak kembali ke negeri ini pulang ke negara asal menjadi asas untuk mempertimbangkan program berkenaan.

“Bagaimanapun, program ini hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai pasport dikeluarkan oleh konsulat masing-masing dan mestilah berada di negeri ini ketika pasport dikeluarkan.

“Dan pasport berkenaan tidak mempunyai sebarang endorsemen ataupun kosong di dalamnya. 3+1 ini hanya sah sehingga 30 November 2012,” katanya.

Jelas Mentek, sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pejabat imigresen berdekatan ataupun ke bahagian Pekerja Asing Kota Kinabalu di talian 088-488776/775.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan kepada mana-mana majikan yang mempunyai pekerja asing untuk membuat pembayaran dalam tempoh dua minggu daripada hari ini bagi pas yang telah diluluskan sebelum ini.

“Manakala bagi kelulusan akan datang, majikan hendalah membuat pembayaran dalam tempoh 21 hari dari tarikh diluluskan dengan kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelulusan yang telah diberikan akan dibatalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) kelmarin.