Pesuruhjaya SUHAKAM Sabah ditahan di Miri

0

MIRI: Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sabah Jannie Lasimbang ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Miri(LTM) di sini petang semalam.

Beliau yang tiba pada jam 3 petang semalam dengan menaiki penerbangan Kuala Lumpur-Miri, ditahan oleh pihak imigresen ekoran namanya yang masih disenarai hitam daripada memasuki negeri ini, walaupun sudah memangku tugas sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM.

Bagaimanapun menurut sumber, nama Jannie disenarai hitam oleh kerajaan negeri ini ekoran pembabitan aktif beliau selaku aktivitis Orang Asal sekitar tahun 1990-an dan ia masih terdapat dalam pangkalan data jabatan. Namun tiada pihak polis terbabit dalam penahanan tersebut dan rundingan telah dilakukan antara beliau dengan pihak imigresen.

Sementara Pengarah Sekretariat Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) Adrian Lasimbang yang juga adik kepada Jannie, yang dihubungi oleh Utusan Borneo di sini semalam, mengesahkan mengenai penahanan itu.

Adrian memberitahu beliau sudah menghubungi Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Datu Robert Lian, untuk mempertimbangkan perkara tersebut, ekoran kedudukannya dalam SUHAKAM ketika ini. “Datu Robert Lian sudah pun ‘membenarkan’ kemasukan beliau dengan memberikannya Pas Terhad, di mana Jannie hanya dibenarkan berada dalam sesi dialog beliau pada jam 9.15 pagi,” jelas Adrian.

Pengenalan panel dan dialog oleh Jannie yang mewakili SUHAKAM dan Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam diadakan sempena sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan yang diadakan selama empat hari di Miri bermula 8 hingga 11 Ogos ini.