Benoni Papar akan membangun selepas siapnya BCC, kata Susan

0

SUSAN (tengah) menunjukkan tanda bagus bersama pasukan jualannya ketika di Pameran PropEX 2012 kelmarin.

KOTA KINABALU: Kawasan Benoni Papar akan menjadi sebuah bandar kecil yang membangun selepas siapnya Pusat Perdagangan Benoni (BCC) yang terletak di jalan besar Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak, dengan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM200 juta.

Pengarah Urusan WSG Development Sdn Bhd, Datuk Susan Wong Siew Guen mendedahkan kepada Utusan Borneo bahawa sebanyak tiga fasa akan dibangunkan di kawasan itu terdiri daripada 220 unit pusat perniagaan.

“Dalam bandar kecil ini akan dibangunkan bangunan kolej, hotel bertingkat, pusat hiburan termasuk pawagam, pusat membeli-belah serta kemudahan fasiliti lain yang membolehkanya maju sebagai sebuah bandar.

“Ini juga adalah salah satu daya tarikan kepada mereka yang dari negara Brunei untuk melakukan aktiviti bersiar-siar dan berhibur di dearah Papar.

“Selain itu, ini juga adalah satu usaha untuk mentransformasikan daerah Papar untuk menjadi lebih maju dan membangun di masa hadapan,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di pameran PropEX 2012 di sini kelmarin.

Susan yang juga Pengarah Urusan Mega Sunwise berkata, fasa pertama sebanyak 60 unit itu akan dilancarkan pada hujung Disember tahun ini dan selebihnya fasa kedua dan ketiga masing-masing 80 unit akan dilancarkan secara berperingkat.

Menurutnya, ketika ini sudah ramai yang mendaftar untuk mendapatkan unit itu namum pihaknya tidak akan menerima sebarang pembayaran kerana masih sedang dalam pemprosesan beberapa dokumen.

Susan juga telah menyeru kerajaan negeri untuk melebarkan jalan raya yang menghubungkan Kota Kinabalu dan sepanjang jalan selepas Papar kerana jalan itu akan bertambah sibuk di masa hadapan.