Ahli dan kakitangan MDK alu-alukan setiausaha baharu

0

SEMANGAT BAHARU: Philimon (berdiri lapan kanan), Yong (sembilan kiri), Jamit (tujuh kanan) serta ahli-ahli majlis, ketua-ketua seksyen dan kakitangan lain merakam kenangan selepas sesi suai kenal di bilik mesyuarat MDK.

KAPIT: Ahli dan kakitangan Majlis Daerah Kapit (MDK) di sini mengalu-alukan kedatangan serta menyatakan sokongan padu kepada Setiausaha MDK yang baharu, Yong Ing Chu bagi menerajui pentadbiran majlis.

“Kami memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya serta mengalu-alukan kedatangan Encik Yong sebagai Setiausaha baharu MDK di majlis ini,” kata Walikota MDK Kaunselor Philimon Nuing ketika mempengerusikan majlis suai kenal bersama setiausaha baharu MDK di bilik mesyuarat di sini semalam.

Menurut Philimon, Kapit merupakan sebuah bahagian yang unik berbanding bahagian lain di negeri ini.

“Kapit hanya sedikit ketinggalan daripada bahagian lain di negeri ini kerana belum dapat dihubungi dengan rangkaian jalan raya.

“Namun demikian, apabila seseorang itu sudah membiasakan diri dengan keadaan persekitarannya, yang pasti anda akan ‘mencintainya’,” Ujar Philimon.

Beliau berharap Yong yang mempunyai pengalaman luas semasa berkhidmat sebagai penolong setiausaha di Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan membawa perubahan dan pembangunan di kawasan pentadbiran majlis.

Beliau kemudian menyampaikan mesej daripada Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing yang turut mengalu-alukan kedatangan Yong untuk berkhidmat di MDK.

Dalam pada itu, Timbalan Walikota Kaunselor Jefferson Jamit Unyat pula menyatakan harapannya agar Yong sebagai seorang pegawai kanan dan berpengalaman semasa di MPS akan menaikkan nama MDK maju ke depan setapak lagi dan dikagumi di seluruh negeri.

“Kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau (setiausaha) dan mahu seluruh kakitangan dan ahli majlis (kaunsleor) supaya bekerja sebagai satu pasukan,” tegasnya.

Turut berucap mengalualukan kedatangan serta menyatakan sokongan kepada Yong ialah Kaunselor Tapah Ata (pengerusi tetap Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Kemasyarakatan), Kaunselor Melai Alang (wakil dari kawasan Belaga), Kaunselor Lim Eng Hock (wakil dari kawasan Song), Kaunselor Herbert Renggi Lawat (pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Luar Bandar) dan Kaunselor Anjan Gaid.

Sementara itu, Yong dalam ucapan balasnya pula menyatakan rasa bangga kerana berpeluang bertugas di MDK dan melahirkan rasa terharu dengan sambutan serta jaminan yang diberikan oleh ahli-ahli majlis dan kakitangan.

“Saya akan berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada majlis (MDK) di samping masih banyak yang perlu saya pelajari tentang Kapit secara amnya walaupun saya pernah berkhidmat di majlis yang lebih besar.

Di sini (MDK), saya merasakan kakitangan yang bertugas hendaklah mempunyai kemahiran serba boleh (multi-skill) tidak seperti keadaan di majlismajlis besar kerana kita mempunyai tugasan yang spesifik untuk dilaksanakan,” jelasnya.

Malah menurutnya, sesuatu yang penting yang harus dilakukan ialah, semua pihak (ahli majlis dan kakitangan) harus berkomunikasi, saling hormat-menghormati dan menaruh kepercayaan (trust) antara satu sama lain.

Yong yang mempunyai kebolehan bertutur dalam Bahasa Melanau, Iban, Cina dan Melayu mungkin memudahkan beliau untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat serta menerajui kepimpinan pentadbiran MDK pada masa akan datang.

Turut hadir semua ketua seksyen dan kakitangan kanan majlis.