Sistem tarikh tetap pilihan raya usaha pembangkang mengelirukan rakyat

1

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah tidak percaya dengan pendapat pembangkang bahawa mereka akan mengadaptasi sistem tarikh tetap pilihan raya sekiranya mereka memerintah negara ini.

Sebaliknya beliau merasakan, niat pembangkang untuk membawa isu berkenaan adalah semata-mata untuk mengelirukan rakyat bahawa sistem pengundian sedia ada tidak bagus.

Bercakap pada satu sidang media di sini semalam, beliau tidak melihat ada sebarang keperluan untuk menukar sistem pilihan raya kerana ia telah diterima secara meluas dan tidak ada sebarang masalah dihadapi.

“Ia bukan sesuatu yang unik dan bukan negara kita sahaja yang mengamalkannya. Negara yang pernah dijajah England mengamalkan sistem yang sama.

“Mungkin pembangkang membuat cerita dengan menyatakan sistem itu tidak bagus. Jika mereka dalam kerajaan mereka juga akan melakukan perkara yang sama. Saya berasakan mereka tidak akan mahu berubah,” kata Menteri Muda Perumahan itu.

Abdul Karim menganggap sistem sekarang telah mengujakan lagi pilihan raya kerana: “Ia memberi banyak keterujaan apabila kita tidak diberi tarikh, semua spekulasi menjadikan momentum pilihan raya lebih menarik.”

Ahli Dewan Undangan Negari (ADUN) Asajaya itu berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng baru-baru ini, bahawa beliau akan mencadangkan kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menetapkan tarikh pilihan raya, sekiranya mereka memerintah.

Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang juga berkata beliau akan mendesak ditetapkan tarikh bagi semua pilihan raya pada masa depan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Mengenai pendapat bahawa tarikh tetap pilihan raya akan membantu memupuk suasana yang menentu bagi komuniti perniagaan, Abdul Karim tidak bersetuju dan berkata pelabur ada cara sendiri untuk meneliti keadaan sesebuah negara sebelum membuat keputusan.

Berhubung Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), beliau meramalkan ia berkemungkinan diadakan pada November tahun ini.

“Bagaimanapun saya tidak terkejut kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) membubarkan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2013 (yang dijadualkan pada 28 September),” katanya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang menjelaskan, Malaysia dengan sistem beraja mempunyai sistem pilihan raya berlainan berbanding negara yang menggunakan sistem pilihan raya Presiden seperti Amerika Syarikat.

Beliau menegaskan, Perdana Menteri hanya akan membubarkan Parlimen selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Berdasarkan nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong akan membenarkan Parlimen dibubarkan.

“Maka itu kita dapat lihat bahawa segalanya ada sebab kita tidak boleh menetapkan tarikh pilihan raya sesuka hati dan membelakangi raja.

“Ia sudah termaktub dalam perlembagaan dan merupakan sistem kerajaan di negara kita,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Bagaimanapun Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baru Bian pula berpendapat cadangan untuk menetapkan tarikh pilihan raya akan membawa banyak kebaikan berbanding keburukan.

ADUN Ba’Kelalan itu berkata, sistem tarikh tetap itu bukan sahaja membolehkan negara membuat perancangan dari segi ekonomi tetapi juga membolehkan rakyat merancang serta mengatur kehidupan, percutian dan aktiviti sosial mereka.

“Sekiranya kerajaan kini yakin dengan prestasi mereka lima tahun lalu maka tidak ada sebab untuk nereka merahsiakan tarikh pilihan raya,” kata Baru melalui SMS.