Regata S’wak instrumen perpaduan: Wan Junaidi

0

KUCHING: Acara sukan air berprestij Regata Sarawak dilihat bukan sahaja menjadi penggerak sektor pelancongan dalam negeri ini tetapi juga sebagai instrumen perpaduan rakyatnya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, untuk itu masyarakat Cina turut diajak untuk menyertai Regata Sarawak pada tahun ini.

“Pada zaman pemerintahan James Brooke dahulu, perlumbaan perahu ini dijadikan kaedah atau cara untuk mendamaikan kaum-kaum yang ada di Sarawak di mana perlumbaan pertama kali diadakan di Baram sebagai instrumen perdamaian.

“Jadi saya cukup yakin bahawa lumba perahu ini juga boleh dijadikan sebagai instrumen perpaduan pada zaman moden ini selain daripada penggerak produk pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama ahli pasukan Jang Wan P193 di sini kelmarin.

“Justeru, kita galakkan masyarakat Cina terlibat serta dalam lumba perahu ini… jangan ia hanya disertai Bumiputera sahaja kerana saya lihat acara ini dapat mempromosikan perpaduan dalam kalangan kaum di Sarawak,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, acara itu kini kebanyakannya disertai oleh masyarakat Bumiputera Sarawak sahaja berbanding komuniti lain yang ada di negeri ini.

“Dahulunya masyarakat Cina ada menyertai pertandingan lumba perahu iaitu perahu naga, mungkin selepas ia lama tidak diadakan mereka tidak menyertainya lagi,” katanya.

Tegasnya lagi, biarlah temasya sukan air itu menjadi landasan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara masyarakat Sarawak.

“Jadi saya berharap supaya kaum Cina terlibat dalam perlumbaan perahu ini pada Regata Sarawak 2012 bersama masyarakat Bumiputera lain,” ujarnya.