Hidupkan segera lampu isyarat di Jln Tabuan Melayu: Penduduk

0

BELUM MENYALA: Lampu isyarat trafik di Jalan Tabuan Melayu belum berfungsi dan mengundang bahaya kepada orang ramai.

KUCHING: Penduduk di kawasan Tabuan Melayu di sini meminta kerjasama pihak berwajib agar segera menghidupkan lampu isyarat trafik yang telah dipasang di persimpangan kampung terbabit.

Seorang penduduk, Muhammad Azani (Len Jan) berkata, lampu isyarat trafik di jalan kampung itu telah dipasang beberapa bulan lalu.

Namun, katanya, lampu isyarat itu belum lagi berfungsi dan amat membahayakan keselamatan orang ramai.

“Kami merayu kepada pihak berkuasa agar segera menghidupkan lampu isyarat trafik di Jalan Tabuan Melayu agar menjamin keselamatan penduduk kampung dan orang ramai,” katanya di sini semalam.

Azani yang juga ahli Kelab Tabuan Melayu The Legend (TMTL) berkata, penduduk kampung dan pengguna jalan terbabit menghadapi risiko kemalangan yang tinggi kerana jalan itu sentiasa sibuk.

“Kita tidak mahu insiden lebih buruk berlaku di persimpangan itu, malah mendatangkan bahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya terbabit,” katanya.

Sementara, Wiera Samin pula berkata, pihak berkuasa telah memberitahu bahawa lampu isyarat itu akan dihidupkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas.

Namun, katanya, Hari Raya telah berlalu dan sehingga kini lampu isyarat itu masih belum dihidupkan.

“Kami benar-benar berharap tindakan segera diambil agar lampu isyarat di Jalan Tabuan Melayu dihidupkan segera,” katanya.