SMV Betong anjur kembara promosi teknik, vokasional

0

ALBUM KENANGAN: Para peserta merakamkan kenangan selepas mengakhiri jelajah berkenaan di Mukah baru-baru ini.

SRI AMAN: Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Betong mengadakan Program Kembara Jelajah Promosi Pendidikan Teknikal dan Vokasional, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu melalui laluan Betong-Saratok-Sarikei-Selangau-Mukah dan singgah di bandar-bandar terbabit.

Konvoi sebanyak kira-kira 35 buah kereta melibatkan 120 guru, staf sokongan dan ahli keluarga.

Antara aktiviti yang diadakan ialah memasang kain rentang promosi dan mengedarkan risalah tentang Kolej Vokasional yang akan dilaksanakan secara total di seluruh Malaysia mulai tahun depan.

Program bertujuan untuk mempromosikan Pendidikan Teknik dan Vokasional sejajar dengan dasar kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran di samping mempromosikan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai kawasan yang menawarkan kerjaya meluas dalam bidang teknik dan vokasional.

Program yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Kelab Kebajikan Staf SMV Betong itu mendapat kerjasama penuh daripada Polis Diraja Malaysia.

Ketika ditemui, Pengetua SMV Betong Ng Fook Yin melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas dan Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat atas tajaan serta sumbangan dalam menjayakan program berkenaan.