400 polis kawal sambutan Hari M’sia

0

MADANG

BINTULU: Seramai 400 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di Bintulu bagi berkawal serta menjaga ketenteraman awam sepanjang sambutan Hari Malaysia yang akan berpusat di sini pada 16 September ini, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat.

Katanya kesemua anggota polis terbabit yang merangkumi anggota PDRM dari Bintulu serta anggota dari bahagian lain akan dikerah bertugas mulai 12 September hingga tamat acara sambutan bagi memastikan segalanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Untuk maklumat awam, anggota polis dengan bantuan pasukan keselamatan lain akan ditempatkan di beberapa lokasi terpilih terutama di tapak sambutan iaitu lapangan terbang lama Bintulu kerana ia bakal menjadi tumpuan ribuan pengunjung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 2012 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu yang diadakan di padang IPD terbabit di sini, semalam.

Bercakap mengenai kadar jenayah di Bintulu, Madang berkata bahawa setakat lapan bulan pertama tahun ini, kadar jenayah di sini telah berjaya dikurangkan kepada 24 peratus dan ia merupakan suatu perkembangan yang baik khususnya buat masyarakat di Bintulu.

“Semua ini adalah hasil kerjasama erat anggota polis dengan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam menyalurkan maklumat serta berkongsi idea bagi membendung kegiatan jenayah di kawasan perumahan atau tempat tinggal mereka,” jelasnya.

Setakat ini katanya, polis telah menggunakan beberapa pendekatan relevan dan antaranya ialah melalui konsep payung yang mana beberapa pegawai ditempatkan bagi berkawal di beberapa lokasi terpilih sekitar Bintulu termasuk di kawasan Parkcity, Medan Jaya serta beberapa kawasan lain di pusat bandar Bintulu.

“Konsep payung masih lagi dijalankan sampai sekarang dan kami menempatkan antara tiga hingga empat anggota pada satu-satu masa bagi menjalankan rondaan serta pemantauan di lokasi mereka diarahkan bertugas,” tambahnya.

Berbalik semula kepada sambutan Hari Malaysia, Madang berkata beberapa jalan utama di bandar Bintulu akan ditutup pada hari berlangsungnya acara dan antara jalan terbabit ialah Jalan Sultan Iskandar dan jalan di kawasan lampu isyarat Sekolah Kebangsaan (SK) St Anthony bagi memudahkan laluan tetamu kehormat menuju ke tapak sambutan.

“Saya pada masa sama turut menasihati orang awam pada hari sambutan supaya jangan lupa mengunci pintu serta mennyalakan lampu di rumah mereka bagi memastikan ia sentiasa terang bagi mengurangkan risiko rumah dipecah masuk oleh pencuri,” katanya.

Para penduduk dalam pada itu jelasnya boleh memaklumkan kepada pihak polis sewaktu meninggalkan rumah bagi membolehkan rondaan lebih kerap dijalankan bagi memantau kawasan tempat mereka tinggal.

Ditanya mengenai isu perbalahan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di beberapa kawasan rumah panjang di daerah kecil Sebauh, beliau berkata segalanya berada dalam keadaan terkawal dan anggotanya masih dihantar ke kawasan terbabit bagi memantau keadaan.