Aidilfitri mampu perkukuh perpaduan kaum: Simoi

0

SELAMAT HARI RAYA: Simoi (tengah), Mohd Ellfizan (kanan), Ismawie (dua kanan), Hamsein (empat kanan) serta yang lain bersama-sama memotong kek raya semasa berlangsungnya majlis berkenaan kelmarin.

LINGGA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan oleh umat Islam di seluruh negara mampu memperkukuhkan lagi perpaduan kaum, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.

Menurutnya, jelas terbukti setiap kali perayaan diadakan mereka yang berkunjung ke majlis rumah-rumah terbuka bukan hanya kaum yang merayakan perayaan tersebut malah turut dikunjungi oleh kaum-kaum lain.

“Ini menunjukkan perpaduan kaum di negara ini cukup kukuh, aman, damai dan stabil sehingga pelancong-pelancong luar yang berkunjung ke negara kita cukup kagum dengan perpaduan yang kita wujudkan selama ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri DUN Lingga di pekarangan Pejabat Daerah Kecil Lingga dekat sini petang kelmarin.

Katanya hasil daripada kestabilan politik sedia ada dan kepimpinan yang sentiasa mementingkan aspek perpaduan, rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaan damai dan harmoni.

“Perpaduan merupakan salah satu aspek yang sangat penting dan sekiranya kita tidak bersatu padu, kita semua tidak dapat menikmati apa yang kita rasa selama ini, sebagai contohnya setiap kali musim perayaan sebegini.

“Di sinilah kita dapat melihat kaum Iban, Cina, Bidayuh, India dan sebagainya berpeluang berkunjung dan menziarahi rakan-rakan mereka yang meraikan Hari Raya untuk memperkukuhkan lagi ikatan silaturahim,” jelasnya.

Tambahnya, begitu juga setiap kali menjelang perayaan lain orang Islam juga turut berpeluang berkunjung ke rumah-rumah terbuka rakan-rakan mereka yang bukan beragama Islam dan ini membuktikan bahawa setiap perayaan di Malaysia adalah perayaan untuk semua kaum.

Justeru, jangan sesekali menganggap bahawa Hari Raya Aidilfitri sebagai perayaan untuk umat Islam sahaja sebaliknya perayaan ini adalah juga perayaan untuk mereka yang bukan beragama Islam, jelasnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Hamsein Attar, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohd Ellfizan Paukan dan lain-lain.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan lagu Hari Raya serta cabutan bertuah.