Cabaran berbasikal sempena 50 tahun Sarawak merdeka

0

CABARAN: Affandi (kiri) menerima cenderamata daripada peserta konvoi cabaran berbasikal di Tatau, Bintulu semalam.

TATAU: Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia akan diadakan di Sarawak tahun depan, sempena perayaan ke-50 Sarawak merdeka dan ke-56 kemerdekaan negara serta sambutan Hari Malaysia di negeri ini.

Acara sukan berbasikal diadakan secara berganti-ganti tanpa henti merentasi seluruh bahagian negeri ini dari Lawas hingga ke Kuching.

Cabaran berbasikal itu meliputi laluan sejauh kira-kira 1,300 kilometer sekali gus bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Cadangan itu disuarakan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Affandi Keli yang bertemu dengan konvoi Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia KPT di pekan Tatau, Bintulu kelmarin (Ahad).

Beliau berkata, inisiatif yang diambil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dalam menganjurkan Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia KPT itu amat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Pihak kementerian sedia maklum mengenai program ini dan menyambut baik penganjuran sukan seperti ini.

“Justeru, kementerian bercadang untuk mengadakan program seumpama itu tahun depan dan kita mahu PKS menyediakan kertas kerja. Kementerian akan membantu termasuk aspek kewangan,” ujar Affandi.

Konvoi Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia KPT yang memasuki hari ke-14 itu tiba pekan Tatau setelah bertolak dari Bintulu menuju ke Mukah.

Selepas Mukah, konvoi yang disertai tujuh orang penunggang basikal, lapan pegawai serta sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bergerak ke menuju ke Sarikei hari ini.

Program itu dianjurkan PKS bertujuan memperkukuh semangat kemerdekaan kalangan masyarakat khususnya remaja dan pelajar IPT serta mempromosi pendidikan IPT kepada komuniti di Sabah dan Sarawak.

Selain menggalakkan gaya hidup sihat, ia juga menerapkan budaya mesra bagi mengukuhkan kepelbagaian budaya dalam konsep 1Malaysia serta menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan di kalangan belia dan pelajar.