Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada skala lebih besar tahun depan

0

KEMBARA SAMBIL BERAMAL: Nancy menyampaikan sumbangan kepada Supiah Materang, berusia 103 yang merupakan warga emas tertua di Sadong Jaya. Turut kelihatan Zaini (kanan) dan Hamsiah (kiri).

SIMUNJAN: Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bercadang mengadakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada skala lebih besar pada tahun depan untuk menyemai rasa cintakan negara di kalangan rakyat negeri ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak Zaini Mohamad selepas kejayaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2012 Peringkat Bahagian Samarahan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Samarahan, Serian dan Simunjan Sabtu lalu.

“Melihat kejayaan konvoi Kembara Merdeka yang dianjuran hari ini (Sabtu lalu) dengan penyertaan melebihi 30 kereta pacuan empat roda, 25 motosikal, saya bercadang untuk mengakadan pada skala lebih besar pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas tiba di perhentian pertama di Dewan Terbuka Simunjan di sini kelmarin.

“Dengan ini, kita dapat menyemarakkan bulan kemerdekaan khususnya Sarawak yang meraikan Hari Kemerdekaan Ke-50 dalam Malaysia pada tahun depan selain dapat menanam semangat patriotik dalam diri setiap rakyat di negeri ini khususnya golongan muda,” tambahnya.

Zaini yang juga ketua konvoi berkata, aktiviti itu dapat memberi contoh terbaik kepada golongan muda untuk mencintai bendera Malaysia dan negara.

“Kalau mereka ini tidak ditanam semangat cintakan negara, maka kita melakukan kesilapan besar kerana golongan muda ini adalah pemimpin masa depan untuk memajukan dan membangunkan Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri ketika berucap berkata, menyemai semangat patriotisme di peringkat kanak-kanak hingga warga emas perlu bagi mengekalkan keharmonian negara serta rasa sayang akan bendera Malaysia.

“Oleh itu, ia memerlukan kerjasama antara kita semua termasuk jabatan kerajaan untuk menjayakan usaha ini di kalangan setiap rakyatnegeri ini,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem merasmikan pelepasan konvoi di pekarangan Dewan Masyarakat Serian dengan penyertaan di kalangan kakitangan agensi kerajaan dan Komuniti 1Malaysia.

Rombongan konvoi yang juga disertai Tegar Bikers Samarahan dilepaskan di Serian menuju ke Simunjan-Sadong dan berkahir di Kota Samarahan.

Turut serta dalam konvoi itu pengerusi penganjur yang juga Pegawai Penerangan Samarahan Sharifah Hamsiah Wan Mohbar.