PLKN berjaya melatih kira-kira 600,000 belia

1

SELAMAT JALAN: Dr Tiki mengagihkan makanan kepada peserta PLKN buat bekalan menuju ke kem.

SIBU: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah diperkenalkan sejak hampir sepuluh tahun lalu telah berjaya melatih kira-kira 600,000 belia dan menjadikan golongan ini sebagai penyumbang kepada pembangunan.

Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe, melalui program tersebut juga kerajaan berjaya memupuk interaksi antara kaum yang dilihat sebagai nadi membentuk perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian yang dikecapi hari ini.

“Oleh yang demikian, ibu bapa tidak perlu khuatir akan anak masing-masing apabila anak mereka terpilih mengikuti PLKN kerana kerajaan percaya, menerusinya dapat menyatukan dan mengeratkan lagi hubungan antara kaum,” ujar beliau ketika berucap merasmikan majlis pendaftaran pelatih PLKN kumpulan 3 Siri 9/2012 yang berlansung di Dataran Bandar Sibu, semalam.

“Seharusnya golongan ibu bapa dan anak-anak yang terpilih seharusnya berasa bertuah kerana mereka merupakan individu di kalangan 25 peratus yang dipilih daripada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 500,000 orang,” jelasnya.

Pada majlis semalam, seramai 919 pelatih PLKN men-daftar untuk mengikuti latihan di empat kem di Sibu, Betong dan Bintulu.

Daripada angka itu, seramai 267 pelatih akan mengikuti latihan di Kem PLKN Bukit Saban Resort, Betong, 212 di Kem PLKN Bumimas Sibu, Kem Junaco Park Sibu (246), Kem PLKN Similajau, Bintulu (194).

Dr Tiki yang juga Ahli Parlimen Mas Gading memberitahu pelatih-pelatih yang terpilih agar menganggap pemilihan mereka sebagai pembakar semangat dalam membina jati diri dan menjadikan diri seorang yang berjaya.

“Sejak diperkenalkan PLKN telah melatih kira-kira 600,000 dan saya percaya kebanyakan daripada mereka ini ada yang sudah berjaya,” katanya.

“Pada masa yang sama, kita akan terus mencari jalan untuk menambah baik program latihan bagi memenuhi keperluan generasi masa kini.

“Kami juga mengalu-alukan sukarelawan atau mereka yag tidak terpilih untuk menyertai PLKN sekiranya mereka berminat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Dr Tiki berkata sungguhpun wang yang dibelanjakan untuk PLKN tahun ini adalah RM700 juta, namun jumlah tersebut adalah berbaloi jika mengambil kira daripada penyatuan kaum dan pembentukan peribadi golongan belia yang bakal menggantikan pucuk pimpinan negara.

Bagi kumpulan 3 Siri 9/2012, beliau berkata tahun ini adalah yang terbaik memandangkan lebih 80 peratus daripada belia yang dipilih dapat mengikuti PLKN.

Beliau turut menegaskan, pihaknya sentiasa menerima maklum balas daripada ibu bapa, parti-parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan lagi mutu program latihan.

Pada majlis semalam, Dr Tiki meluangkan masa lebih satu jam bertemu dengan ibu bapa dan pelatih-pelatih dan kemudiannya melepaskan 12 bas yang membawa pelatih-pelatih ke empat yang terpilih.