Site Last Updated 3:41 pm, Monday

SMK Batu Kawa adakan Pertandingan Masakan Ala Rimba

Posted on September 11, 2012, Tuesday

SIBUK: Ahli unit beruniform SMK Batu Kawa masing-masing sibuk menyediakan masakan ala rimba sempena sambutan kemerdekaan.

KUCHING: Unit beruniform Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa telah mengadakan Pertandingan Masakan Ala Rimba sempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia 2012.

Menggunakan pelbagai peralatan semula jadi untuk memperingati cara utama nenek moyang zaman dahulu menyediakan makanan yang berkhasiat, pertandingan ini telah disertai oleh semua sembilan unit beruniform sekolah berkenaan.

Menurut penyelaras unit beruniform, Freda Benendict Sigie, semua ahli termasuk guru penasihat unit beruniform telah memberikan kerjasama dalam program sempena Hari Kemerdekaan tahun ini.

Katanya pelbagai masakan berjaya disediakan pada pertandingan tersebut, antaranya masakan ayam pansuh, ikan pais dalam daun pisang atau daun simpur, beras pulut dan beras biasa dimasak menggunakan buluh serta kemahiran memasak telur ayam tanpa menggunakan peralatan memasak.

“Untuk memasak telur ayam tersebut tanpa menggunakan peralatan memasak merupakan agenda yang paling mencabar bagi semua unit beruniform namun semuanya berjaya hasil kreativiti peserta.

“Inilah antara tujuan programini dilaksanakan, di samping kita meraikan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia peserta turut didedahkan dengan semangat berpasukan dan bekerjasama dalam pelbagai perkara,” katanya.

Selain Pertandingan Masakan Ala Rimba, warga SMK Batu Kawa turut mengadakan perhimpunan khas sempena ambang merdeka dengan pengisian pelbagai aktiviti bercorak patriotik.

Pengetua SMK Batu Kawa Joseph Ng telah memulakan sambutan kemerdekaan dengan ucapan berkaitan pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia memelihara kedaulatan negara.

Sebagai kemuncak kepada program ambang merdeka itu, perkataan  merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali sebagai memperingati pembebasan negara daripada kuasa penjajah.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.