Taman negara akan dinaik taraf: Abg Johari

0

MEMACU PELANCONGAN: Abang Johari (tujuh kanan) bersalaman dengan Talib selepas mengumumkan ahli lembaga STB yang baharu.

KUCHING: Semua taman negara yang terdapat di negeri ini  akan dinaik taraf dengan menempatkan infrastruktur mesra alam sekitar selain diuruskan dengan baik untuk mengekalkan imej semula jadinya.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, untuk tujuan itu kerajaan persekutuan memperuntukkan RM38 juta bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf taman negara dilakukan.

Menurutnya, infrastruktur yang terdapat di kebanyakan taman negara masih kurang memuaskan sedangkan ia merupakan tumpuan pelancong domestik dan asing.

“Apa yang akan kita lakukan adalah mengekalkan imej taman negara dengan infrastruktur mesra alam sekitar.

“Kita akan menaik taraf semua taman negara dan menguruskannya dengan baik selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengumumkan ahli baharu Lembaga Pelancongan Sara-wak (STB) dan strategi pemasaran STB di sini, semalam.

Abang Johari menjelaskan, pengwujudan tempat penginapan selesa di taman negara juga sedang dirangka bagi membolehkan pelancong berada dalam keadaan lebih kondusif apabila berada di destinasi alam semula jadi tersebut.

“Kebanyakan maklum balas yang kita terima daripada pelawat menyatakan penginapan di taman negara tidak me-muaskan.

“Apa yang perlu ialah mewujudkan tempat penginapan dengan rekaan mesra alam,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai potensi daerah Bau, beliau berkata, batu kapur semula jadi yang banyak terdapat di pekan itu boleh dijadikan sebagai produk pelancongan dan tarikan terbaru pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Bau boleh ditransformasi sebagai lokasi pelancongan terbaik kerana kaya dengan khazanah batu kapur yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, kelebihan khazanah alam semula jadi yang terdapat di negeri ini telah menjadikan Sarawak tumpuan pelancong.

Katanya, ia terbukti dengan peningkatan kehadiran pelancong dari Januari hingga Jun tahun ini dengan jumlah dua juta.

“Kehadiran pelancong ke negeri ini meningkat 10 peratus untuk pelancong asing dengan 1.3 juta orang dan kira-kira 700,000 pelancong domestik,” kata Abang Johari.

Dalam pada itu, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dilantik sebagai pengerusi STB yang baharu manakala Setiausaha Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik menjadi timbalan pengerusi.

Ahli lembaga yang lain termasuk Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASwings Sdn Bhd, Presiden Persekutuan Pelancongan Sarawak, Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan (MATTA), Pengerusi Pesatuan Hotel Malaysia (Cabang Sarawak) Datuk Raziah Mahmud-Geneid, Jason Tai Hee dari Wilayah Tengah dan Troy Yaw Chee Weng mewakili Wilayah Selatan.