Site Last Updated 3:59 am, Friday

11 anjakan ubah pendidikan

Posted on September 12, 2012, Wednesday

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dilancar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Terdahulu laporan berkenaan dibentang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperje-laskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidi-kan negara dan akan mendapat-kan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal ber-kenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, per-paduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan. Menurut pelan itu juga, guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini. Kementerian Pelajaran, menurut laporan itu, akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara – mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

“Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah,” kata laporan itu.

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.

“Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun,” kata laporan itu.

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

“Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum,” kata laporan itu.

— Bernama

 

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1.         Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2.         Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3.         Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4.         Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5.         Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6.         Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7.         Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8.         Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9.         Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10.      Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11.       Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.