PPKS Mukah tetap cabar pasukan Piala Sarawak MuFA

0

TETAP MENCABAR: Pasukan PPKS Mukah merakamkan kenangan sebelum bertemu pasukan UiTM Mukah.

MUKAH: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan menentang pasukan Piala Sarawak Persatuan Bola Sepak Mukah (MuFA) di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM), baru-baru ini.

Pasukan PPKS Mukah yang terdiri sebahagian besarnya daripada para pelatih program Juruteknik Elektrik, terpaksa bekerja keras ketika berdepan Piala Sarawak MuFA yang ternyata memiliki lebih banyak pengalaman dan berkemahiran tinggi.

“Jemputan daripada pasukan Piala Sarawak MuFa untuk mengadakan perlawanan persahabatan merupakan satu penghargaan buat kami. Ia merupakan peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan.

“Setiap seorang daripada kami bermain dan nyata ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Walaupun tewas, kami mampu juga menjaring satu gol,” ujar ketua pasukan PPKS Mukah, Mohammad Syukri Musa.

Hadir sama menyaksikan perlawanan ialah Pegawai Hal Ehwal Pelajar PPKS Mukah Bohari Ali, kakitangan serta pelatih PPKS Mukah yang lain.

Menurut Syukri, dua perlawanan yang berlangsung sebelum itu telah membolehkan mereka mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan pasukan.

Sementara itu, Bohari memuji semangat juang serta kerja berpasukan yang telah ditunjukkan oleh pasukan sepanjang masa perlawanan.

“Walaupun agak keletihan selepas satu perlawanan persahabatan lain sehari sebelumnya, setiap pemain telah memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Menurut Bohari lagi yang juga merupakan pengurus pasukan, perlawanan persahabatan ini memberi ruang kepada beliau dan ketua pasukan mengenal pasti kesebelasan utama serta posisi masing-masing.

Beliau yang turut bermain menyeru agar semua pelatih yang terlibat agar berlatih dengan lebih kerap sebagai persediaan menghadapi perlawanan-perlawanan lain pada masa depan.

Terdahulu , PPKS Mukah turut mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan bola sepak UiTM Mukah di padang yang sama.