Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Ratusan serbu stadium untuk daftar niaga sempena Regata S’wak

Ratusan serbu stadium untuk daftar niaga sempena Regata S’wak

Posted on September 12, 2012, Wednesday

SERBU: Kakitangan DBKU giat mendaftar peniaga yang ingin mendapatkan ruang niaga semalam untuk Regata Sarawak 2012 hujung minggu ini. — Gambar Mohd Rais Sanusi

KUCHING: Sanggup tidur di Stadium Perpaduan semata-mata untuk mendapatkan ruang niaga semasa berlangsungnya Regata Sarawak 2012 dari 14 hingga 16 September ini.

Ia merupakan pengakuan salah seorang pemohon dan peniaga ayam panggang, Azah Maniah, 58, yang mula berada di pekarangan tempat pendaftaran tersebut selepas maghrib malam kelmarin.

Namun, hasratnya untuk berniaga tidak kesampaian walaupun sudah menunggu hampir 14 jam kerana keadaan terlalu sesak.

Menurut Azah, sepatutnya pihak penganjur mendaftarkan peniaga berdasarkan ‘siapa datang dahulu’ dan bukannya mengumpulkan semua pemohon kerana ia menyebabkan kesesakan.

“Saya sudah tua dan tidak mampu untuk berasak-asak dengan pemohon yang agak ramai seperti ini. Walaupun sudah menunggu lama saya terpaksa akur tidak dapat berniaga kali ini,” katanya ketika ditemui semasa Pendaftaran Peniaga Regata Sarawak 2012 semalam.

Azah yang tidak pernah ketinggalan berniaga semasa Regata Sarawak berkata, pada masa akan datang tempat pendaftaran harus ditukar ke lokasi lain selain lebih banyak kaunter pendaftaran dibuka bagi mengelak berulangnya insiden seperti itu.

Bagi seorang pemohon yang dikenali sebagai Siti, ada di antara pemohon mula berada di lokasi pendaftaran sejak jam 5 pagi.

“Mula-mula tadi pendaftaran berjalan lancar tetapi disebabkan pemohon sudah menunggu lama menyebabkan keadaan kecoh kerana ada di antaranya memotong barisan supaya dapat mendaftar awal,” ujarnya.

Seorang lagi pemohon yang hanya mahu dikenali sebagai Wan mendakwa, sesi pendaftaran pada kali ini tidak teratur berbanding sebelum ini.

“Setiap tahun saya berniaga semasa Regata Sarawak namun tahun ini agak sukar untuk mendaftar.

“Sepatutnya pendaftaran ini dilakukan mengikut angka giliran dan bukannya berebut-rebut seperti ini,” jelasnya.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berkata, sesi pendaftaran bermula pada jam 9 pagi namun keadaan menjadi kecoh kerana pemohon berasak-asak untuk mendaftar awal.

Dianggarkan, antara 400 dan 500 pemohon berada di pekarangan Stadium Perpaduan semalam untuk mendaftar ruang niaga yang diperuntukkan kepada 324 orang awam.

Print Friendly

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.