Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Regata Sarawak: Jangan letak kereta sesuka hati
Regata Sarawak: Jangan letak kereta sesuka hati
Posted on September 12, 2012, Wednesday

PATUHI PERATURAN: Amihizan (kanan) menunjukkan peta tempat letak kereta dicadangkan serta jalan-jalan yang bakal ditutup sempena Regata Sarawak 2012.
KUCHING: Orang ramai diingat agar tidak meletakkan kenderaan sembarangan khususnya ketika Regata Sarawak berlangsung pada hujung minggu ini dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.
Menurut Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Kuching DSP Amihizan Abd Shukor, lebih 250 polis yang akan dibantu unit polis berbasikal serta Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) ditugaskan untuk melakukan rondaan dari semasa ke semasa untuk mengawal trafik serta memantau keselamatan.
“Orang ramai dinasihati agar tidak meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, patuhi peraturan- peraturan lalu lintas serta (arahan) daripada pihak polis. “Sebarang pelanggaran (peraturan) akan diambil tindakan saman manakala kenderaan tersebut pula akan ditunda,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Timbalan Residen Kuching Zamahari Saidi di sini, semalam.
Amihizan yang juga Ketua Polis Trafik Daerah Kuching berkata, antara tempat letak kereta dicadangkan adalah di Bangunan Saujana, Medan Pelita, Parkson, Medan Kereta, Pusat Beli-belah The Hills, Taman Budaya dan Dewan Suarah.
Beberapa laluan akan ditutup secara berperingkat, katanya, bagi memastikan keselamatan dan lalu lintas berjalan dengan lancar.
Jalan Market/Jalan Gambier/Jalan Power akan ditutup dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam, Jalan Khoo Hun Yeng (6 pagi-12 malam) dan Jalan Main Bazaar/Jalan Wayang (6 pagi-6 petang).
Manakala tetamu kehormat dan petugas yang mempunyai pas urus setia, katanya, akan melalui Jalan Main Bazaar dan keluar melalui Jalan Tun Abang Openg.
“Orang ramai dinasihati untuk menggunakan jalan alternatif seperti Jalan Padungan dan Jalan P.Ramlee,” katanya sambil menasihatkan orang ramai menggelakkan diri menggunakan Jalan Mc- Dougall.
Amihizam turut menasihati orang ramai agar tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah, selain memastikan kereta sentiasa berkunci dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalamnya.
Manakala sesiapa yang berkunjung ke regata itu bersama kanak-kanak pula katanya, dinasihati agar menjaga keselamatan anak-anak dan jangan membiarkan mereka berjalan bersendirian.
Pondok-pondok polis juga boleh didapati di Clock Tower, Mahkamah Lama, Tempat Teksi dari jam 7 pagi hingga 11 malam.
<< Previous Entry - Next Entry >>



