S’wak catat pelaburan RM8.5b Jan-Sept

0

BERKUALITI: Awang Tengah melihat salah produk yang dijual di Kedai 1Malaysia yang dipamerkan di gerai milik Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada majlis tersebut, semalam. Turut kelihatan, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Promosi dan Pelaburan) Julaihi Narawi (dua kiri).

KUCHING: Sarawak mencatatkan pelaburan modal berjumlah RM8.5 bilion dari Januari hingga September 2012 melibatkan 38 projek yang mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan.

Menteri Pembangunan Per-industrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada 38 projek itu, 21 yang mempunyai modal pelaburan asing sebanyak RM6 bilion telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan An-tarabangsa dan Industri (MITI) untuk dipertimbangkan dan kelulusan, manakala 17 projek lagi melibatkan pelaburan modal RM33 juta telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelaras Perindustrian (ICC).

“Berdasarkan Laporan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) tentang Prestasi Pelaburan Malaysia 2011 pula, Sarawak berjaya menarik pelaburan modal baharu tertinggi (2011) bernilai RM8.17 bilion. Jumlah ini lebih tinggi berbanding di Pulau Pinang (RM4.48 bilion) dan Selangor (RM4.38 bilion).

“Kebanyakan pelaburan ini hasil daripada inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merasmikan Majlis Perasmian Program Meneroka Peluang Dalam Sektor Perdagangan dan Perindustrian Peringkat Negeri: Seminar Perdagangan dan Perindustrian Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam merangkap Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, pelaksanaan inisiatif SCORE dan penyiapan empangan tenaga hidro yang lebih banyak, Sarawak akan dapat menawarkan tarif elektrik lebih kompetitif ditambah dengan pembangunan prasarana sokongan di estet-estet perindustrian seluruh negeri sekali gus menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing dan Pelaburan Langsung Tempatan ke negeri ini.

Sarawak ketika ini, katanya, berada di ambang era baharu yang menuntut semua pihak memaksimumkan ‘kelebihan berbanding’ untuk mencapai potensi sepenuhnya.

“Memiliki tenaga hidro yang melebihi 20,000 MW, Sarawak telah menggerakkan rancangan SCORE yang akan memacu negeri ini mencapai matlamat sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020. Masa depan Sarawak kini bergantung pada kemampuan kita kekal berdaya saing di pasaran global,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini SCORE berjaya menarik pela-buran bernilai hampir RM30 bilion daripada 16 projek yang dijangka mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan ope-rasi tidak termasuk bilangan pe-kerja semasa proses pembinaan.

Menurutnya, di Taman Perindustrian Samalaju setakat ini terdapat lima syarikat gergasi membina kemudahan masing-masing dengan Tokuyama Malaysia Sdn Bhd telah menyiapkan 95 peratus pembinaan fasa pertama dan dijangka mula beroperasi menjelang suku kedua tahun hadapan.

Keseluruhannya, beliau berkata, pelaburan Tokuyama di Samalaju akan mencecah RM8 bilion apabila siapnya projek fasa pertama dan kedua.

Manakala, katanya, Press Metal Berhad juga di Taman Perindustrian Samalaju melabur RM1.8 bilion dalam projek fasa pertama dan kini projeknya siap 85 peratus dan syarikat itu menyasarkan operasinya bermula menjelang akhir tahun ini dan berharap dapat menawarkan 2,000 peluang pekerjaan operasi di kilang dan aktiviti hilirannya.