Sarawak sambut baik Pelan Pembangunan Pendidikan: Fatimah

1

SIJIL PENYERTAAN: Fatimah menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta OKU, Till Udat. Turut kelihatan Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad (dua kanan). — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Sarawak menyambut baik pelaksanaan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) kerana ia pasti memberi impak positif dan manfaat kepada pembangunan pendidikan di negeri.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ini terutama anjakan yang ditekankan iaitu menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa.

“Kita akan mendapat manfaat daripada pelan ini sebab salah satu daripada penekanan (anjakan) adalah bagi mengurangkan ketidaksamarataan.

“Dalam anjakan ini ia menyeluruh baik dari segi jurang pendidikan antara negeri, jurang bandar dan luar bandar mahupun jurang pendidikan antara etnik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Asas Keusahawanan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di sini, semalam.

Fatimah menegaskan, paling ketara sekarang ialah jurang dari segi kemudahan asas sekolah di Sarawak khususnya luar bandar berbanding sekolah di Semenanjung Malaysia.

“Misalnya masih banyak sekolah kita masih menggunakan enjin penjana kuasa jika dibandingkan di Semenanjung dan kemudahan seperti ini perlu diubah kepada yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, ujarnya, selepas tiga tahun pelaksanaan program, semua sekolah adalah berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mana Sarawak juga masih ketinggalan dari segi kemudahan itu.

Katanya, memandangkan kini diberi tempoh sebulan sebelum pelaksanaan, selepas pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan oleh Perdana Menteri Selasa lalu, Sarawak akan mengemukakan cadangan kemudahan asas itu serta keperluan peluang pendidikan kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di Sarawak.

“Kita diberi masa sebulan untuk mengkaji laporan awal yang dilancarkan itu dan selepas itu, ia akan dilihat semula sebelum dikemukakan kepada kabinet untuk dilaksanakan pada tahun 2013 hingga 2025,” kata Fatimah.

Terdahulu, dalam ucapannya Fatimah berkata, kursus keusahawanan yang disertai oleh penerima bantuan JKM itu bertujuan untuk meningkatkan semangat, iltizam dan jati diri keusahawan para peserta.

Selain itu ia meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhdap konsep perniagaan serta memberi pendedahan asas dalam menguruskan perniagaan serta memperolehi kemahiran asas keusahawanan.

Kira-kira 39 penerima bantuan JKM menyertai kursus berkenaan semalam yang terdiri daripada OKU dan ibu tunggal serta 22 pekerja kes (kakitangan) JKM.