Anifah akan ke Singapura pada hujung minggu: Riot

0

KUCHING: Penyelesaian masih dapat diperolehi berhubung peraturan buruh baharu Singapura yang tidak membenarkan penduduk peribumi lelaki Sabah dan Sarawak ber-usia 35 tahun ke bawah bekerja di republik itu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata, menterinya Datuk Seri Anifah Aman akan berlepas ke Singapura hujung minggu ini untuk membincangkan perkara tersebut dengan rakan sejawatan, K Shanmugam.

“Menteri (Anifah) akan pergi ke sana Ahad ini. Walaupun ia adalah Hari Malaysia dan cuti umum, beliau akan ke sana untuk bekerja dan kita harap pertemuan akan diadakan pada hari tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Riot yang juga Ahli Parlimen Se-rian menegaskan kerajaan tidak berdiam diri mengenai perkara itu dan akan mencari fakta sebenar berhubung isu itu daripada pihak Singapura.

Beliau berkata, kerajaan bimbang dengan nasib ramai belia dari Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat peraturan baharu itu.

“Pada masa sama, kita juga perlu menghormati kedaulatan Singapura dan kita tidak boleh campur tangan dalam urusan mereka.

“Kita cuba menyelesaikan perkara ini menerusi kaedah diplomatik,” katanya.

Isnin lepas, kerajaan Singapura mengumumkan peraturan baharu yang membenarkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas untuk be-kerja di sana tetapi menyekat kemasukan warga peribumi lelaki dari Sarawak dan Sabah berusia 35 tahun ke bawah.

Peraturan baharu itu dikuatkuasakan sebagai ‘hukuman pentadbiran’ selepas siri jenayah dan pergaduhan melibatkan warga peribumi Sabah dan Sarawak di republik tersebut.

Beberapa pembunuhan berprofil tinggi melibatkan warga peribumi Sarawak dan Sabah di Ang Mo Kio Avenue, Kallang dan Geylang sejak beberapa tahun lalu dilaporkan telah menyumbang kepada peraturan yang lebih ketat itu.

Peraturan itu akan menyusahkan lelaki peribumi Sabah dan Sarawak yang mematuhi undang-undang, khususnya pekerja tidak mahir dan buruh kasar yang ingin bekerja di Singapura.

Ini kerana, pekerja baharu di bawah usia 35 tahun dari kedua-dua negeri dilarang, manakala mereka dalam kumpulan usia tersebut yang sudah bekerja di sana tidak dapat memperbaharui permit kerja mereka selepas ia luput dalam masa dua tahun.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam dipetik dalam laporan sebagai berkata, peraturan baharu Singapura berhubung permit kerja adalah disebabkan oleh janji palsu yang dibuat oleh ejen yang mengambil orang bekerja di Singapura.

Beliau juga berkata, beberapa insiden di Singapura dalam kalangan warga Sarawak dan Sabah dipercayai telah menimbulkan rasa tidak senang hati pihak berkuasa.