Libas parang ke arah polis, warga asing ditembak

0

 

JAUTEH (dua kiri) sedang melakukan pemeriksaan di lokasi anggota polis dilibas parang, malam semalam.

KOTA KINABALU: Seorang warga asing cedera ditembak oleh anggota polis setelah bertindak menyerang rakan setugasnya dengan bersenjatakan parang panjang dalam satu kejadian di Batu 10, Jalan Tuaran malam semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 9.20 malam itu, suspek berusia 26 tahun terbabit dikatakan melibas parangnya ke arah anggota polis sebelum rakan setugasnya terpaksa melepaskan tembakan yang terkena di bahagian bahu kanan suspek.

Sebelum kejadian, difahamkan dua anggota polis berpangkat Lans Koperal itu sedang melakukan rondaan di lokasi berkenaan dan mengesan empat lelaki dalam keadaan mencurgikan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata keempat-empat lelaki itu bertindak melarikan diri ketika dihampiri anggota polis.

“Ketika dikejar, salah seorang daripada mereka mengeluarkan parang dan cuba menyerang polis. Namun demikian, suspek itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan kira-kira 50 meter daripada jalan terbabit.

“Selepas menemui jalan buntu, suspek bersenjata itu kemudian berpatah balik dan menyerang seorang anggota polis menggunakan parang.

“Atas dasar keselamatan, rakan setugas anggota polis itu kemudian terpaksa melepaskan tembakan dan terkena pada bahu kanan suspek,” katanya.

Jauteh menambah, suspek itu kemudiannya ditahan dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.

“Tiada sebarang dokumen ditemui ketika suspek diberkas. Suspek kini berada dalam keadaan stabil dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh,” katanya.

Menurut beliau lagi, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti dan motif suspek membawa senjata berbahaya berkenaan.

“Kita turut berusaha menjejaki tiga lagi suspek yang terlepas,” katanya.